MELAKA, 14 Okt (Bernama) -- Reruai yang mengetengahkan kaedah membaca ekspres-i dalam bahasa Inggeris dan Melayu, antara yang menjadi tumpuan pengunjung pada Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Melaka yang membuka tirainya hari ini,
Pengasas syarikat penerbitan Bonda Nor Sdn Bhd, Norli Madlan, 46, berkata kaedah itu membantu mempelbagaikan teknik mengajar bagi guru yang berdepan masalah murid tidak pandai membaca.
“Penceramah dan fasilitator kita memang ada juga dalam kalangan guru-guru yang mengambil kelas ini untuk diajar kepada anak-anak murid mereka di samping mencari pendapatan sampingan.
“Yuran bagi menjadi fasilitator RM150 dan mereka akan diberikan modul dan kita ajar bagaimana kaedahnya dan mereka akan dapat sijil dari pihak kami untuk membolehkan mereka membuka kelas membaca ekspres-i,” katanya kepada Bernama pada Jelajah AKM edisi ke-11 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, di sini, hari ini.
Mengenai yuran pendaftaran pelajar yang ingin mengikuti kelas ini pula, Norli berkata pihaknya menetapkan kadar maksimum RM150 sebulan untuk seorang pelajar.
Pemilik pusat pembelajaran ekspres-i Intan Lilly Julieana Rosly, 45, berkata syarikat Bonda Nor menawarkan peluang keemasan yang boleh diceburi ibu tunggal dan suri rumah yang ingin menjana pendapatan dari rumah.
“Kalau kita tidak mahu buka kelas sebab melibatkan kos yang tinggi, mulakan dengan mengajar di rumah, teknik yang diajarkan memang mudah untuk difahami dan tidak membebankan, yang pasti kita dapat jana pendapatan melaluinya,” kata ibu tunggal yang mempunyai seorang anak itu.
Beliau berkata kaedah membaca ekspres-i dapat membantu anak-anak mengenal suku kata, boleh mencantum perkataan dengan mudah dan seterusnya membolehkan mereka cepat membaca.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial