EKONOMI

MOF cadang galakan cukai GITA, GITE dikaji mengikut pendekatan berperingkat

08/10/2022 12:30 AM

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Kementerian Kewangan (MOF) mencadangkan agar galakan cukai bagi aktiviti hijau yang layak di bawah Elaun Cukai Pelaburan Hijau (GITA) dan Pengecualian Cukai Pendapatan Hijau (GITE) dikaji semula berdasarkan ‘tiering approach’ atau pendekatan berperingkat.

Di bawah inisiatif GITA, cadangan elaun cukai pelaburan (ECP) adalah sebanyak 60 peratus bagi aktiviti solar dan ECP sebanyak 100 peratus bagi aktiviti selain solar dan solar + Battery Energy Storage System (BESS) sistem penyimpanan tenaga bateri.

"Ketika ini, ECP sebanyak 100 peratus diberi ke atas perbelanjaan modal bagi aktiviti hijau yang layak selama tiga tahun dan elaun ini boleh ditolak sehingga 70 peratus daripada pendapatan berkanun,” kata kementerian itu dalam lampiran cukai bajet 2023 yang dikeluarkan bersempena pembentangan Bajet 2023 oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz hari ini.

Di bawah inisiatif GITE pada masa ini, pengecualian cukai pendapatan sebanyak 70 peratus ke atas pendapatan berkanun bagi aktiviti perkhidmatan hijau yang layak untuk tempoh tiga tahun taksiran dan  pengecualian cukai pendapatan sebanyak 70 peratus ke atas pendapatan berkanun sehingga 10 tahun bagi aktiviti pajakan solar.

Selain itu, MOF turut mencadangkan agar tempoh galakan cukai GITA dan GITE dilanjutkan kepada lima tahun bagi projek terpilih daripada tiga tahun manakala tempoh permohonan galakan cukai dilanjutkan selama dua tahun.

"Tarikh kuatkuasa baharu yang dicadangkan bagi permohonan diterima oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia mulai  1 Jan, 2024 hingga 31 Dis 2025 berbanding tempoh galakan cukai antara 1 Jan, 2020 hingga 31 Dis 2023," katanya.

Menurut kementerian itu, cadangan tersebut bertujuan menyokong inisiatif pembangunan teknologi hijau negara secara berterusan, selaras dengan Pelan Hala Tuju Teknologi Hijau 2017-2030.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan