PUTRAJAYA, 7 Okt (Bernama) -- Seramai 13 anggota delegasi Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) akan bertolak ke Palu, Indonesia esok bagi merasmikan empat masjid di sana yang dibina hasil sumbangan Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) dan agensi di bawahnya.
Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM Dr Ahmad Sani Abdul Alim Araby berkata kempat-empat masjid tersebut siap dibina pengujung 2019 dengan kos keseluruhan RM1 juta.
Katanya empat masjid ialah Masjid Babul Khairat dan Masjid ar Rahman di Balaroa; Masjid al-Muhajirin di Tondo dan Masjid Nur Yahya di Bayaoge.
"Disebabkan pandemik COVID-19 yang melanda, masjid berkenaan tidak dapat dirasmikan lagi dan penduduk di sana pula segan hendak menggunakan kemudahan itu selagi kami tidak merasmikannya.
"Jadi tujuan kami ke sana, selain untuk merasmikan keempat-empat masjid itu kami juga akan menganjurkan sambutan Maulidur Rasul," katanya kepada media selepas Majlis Pelepasan Misi Bantuan Skuad Musaadah Keluarga Malaysia agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Bersama MAPIM ke Palu, Indonesia, di sini hari ini.
Ahmad Sani berkata misi yang diketuai Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jakim Ruslan Said itu, akan bertolak esok dan dijangka kembali ke tanah air Selasa ini.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jakim Datuk Hakimah Mohd Yusoff dalam ucapannya berkata sumbangan pembinaan masjid di Palu membuktikan kerajaan Malaysia sentiasa mengambil peduli dan cakna tentang nasib umat Islam di negara jiran yang ditimpa musibah.
"Saya amat berharap dengan selesainya majlis perasmian empat masjid ini, ia dapat diimarahkan dengan sebaik mungkin oleh masyarakat sekitarnya.
"Jadikan institusi masjid sebagai tempat untuk melaksanakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan tidak terhad hanya untuk ibadah semata-mata tetapi meliputi segenap aspek," katanya.
Tragedi gempa bumi di Palu pada 28 Sept 2018 menyaksikan lebih 5,000 mangsa terkorban.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial