AM

Institusi Masjid, Surau Disaran Manfaatkan AI

14/06/2026 06:25 PM

KUCHING, 14 Jun (Bernama) -- Institusi masjid dan surau disaran memanfaatkan teknologi digital serta kecerdasan buatan (AI) bagi memperkukuh pengurusan dan penyampaian maklumat terutamanya generasi muda selaras dengan perkembangan dunia digital, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata penguasaan teknologi kini bukan lagi satu pilihan, sebaliknya menjadi keperluan terutama dalam usaha mendekati generasi muda menerusi pendekatan yang lebih kreatif, interaktif dan berkesan. 

“Dalam era digital semakin berkembang pesat, institusi masjid dan surau juga perlu memanfaatkan teknologi serta AI bagi mempertingkatkan keberkesanan pengurusan dan penyebaran maklumat kepada orang ramai,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Surau Nurul Muslimin, Kampung Sungai Bedil di Petra Jaya, di sini hari ini. 

Beliau berkata AI berpotensi membantu memperluas usaha dakwah serta mengimarahkan masjid dan surau melalui penghasilan kandungan yang lebih menarik dan penyebaran maklumat lebih meluas. 

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa teknologi ini perlu digunakan secara bijak, beretika dan berhemah demi memastikan manfaatnya dapat dinikmati sepenuhnya oleh masyarakat.

“Pada masa sama, teknologi ini juga wajar dimanfaatkan secara bertanggungjawab,” katanya. 

Fadillah turut menekankan kepentingan literasi digital dalam kalangan masyarakat bagi membolehkan mereka membezakan maklumat sahih daripada berita palsu, termasuk berdepan ancaman manipulasi media sosial dan teknologi deep fake

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan