BERITA PRU15   MCMC diminta kenal pasti kawasan ada gangguan komunikasi di Padang Serai | PH tidak letak syarat bentuk kerajaan negeri - Wan Rosdy | PRU15 Padang Serai: Calon BN teruskan kempen | DUN Tioman: Masyarakat Orang Asli harap masalah air diselesaikan | DUN Tioman: Calon BN bertemu calon PH, bincang strategi kempen | 
EKONOMI

Pejabat baharu MIDA di Istanbul jadi gerbang masuk pelaburan Malaysia-Türkiye

30/09/2022 09:46 PM

KUALA LUMPUR, 30 Sept  (Bernama) -- Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) membuka pejabatnya di Istanbul bagi menyediakan peluang ekonomi baharu dan memacu pertumbuhan mantap dalam perdagangan dua hala di antara Malaysia dan Türkiye.

Pejabat MIDA di Istanbul akan berfungsi sebagai pintu masuk untuk pelabur Türkiye yang bercita-cita mengembangkan perniagaan mereka di Malaysia dan sebaliknya, kata MIDA dalam satu kenyataan hari ini.

"Para pelabur akan dapat mengakses maklumat terkini mengenai dasar dan peluang pelaburan, perkongsian usaha sama atau kerjasama teknologi," kata kenyataan itu.

MIDA berkata, banyak peluang perniagaan menanti pelabur Türkiye, terutamanya dalam industri mesin dan peralatan, aeroangkasa, teknologi maklumat dan komunikasi, teknologi digital, pembuatan makanan termasuklah segmen halal.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyifatkan pembukaan pejabat MIDA di Istanbul adalah paling tepat pada masanya untuk mengeksploitasi sepenuhnya potensi pelaburan Türkiye yang dipertingkatkan dalam pembuatan dan perkhidmatan termasuk pembuatan termaju, mesin dan peralatan, aeroangkasa dan pelaburan digital.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Arham Abdul Rahman berkata, selain membantu MIDA menarik peluang pelaburan baharu ke negara ini, Malaysia juga sedang mencari kerjasama baharu untuk berkembang secara bersama.

Pejabat baharu itu akan membantu meluaskan program jangkauan mereka dengan rakan dagangan Türkiye termasuk negara-negara seperti Rusia, Greece, Cyprus, Azerbaijan, Georgia dan tujuh negara "Stan" di Asia Tengah.

“Pelabur Türkiye yang berminat untuk mencari perkongsian usaha sama atau kerjasama teknologi dengan perniagaan Malaysia boleh mendapatkan maklumat di pejabat ini.” katanya.

MIDA berkata, bagi separuh pertama 2022 Malaysia menarik pelaburan yang diluluskan bernilai RM123.3 bilion (US$28.0 bilion) dalam sektor utama, pembuatan dan perkhidmatan melibatkan 1,714 projek. Projek tersebut mampu menjana kira-kira 57,771 peluang pekerjaan di negara ini.

Pelaburan langsung asing kekal sebagai penyumbang utama, yang mewakili 70.9 peratus atau RM87.4 bilion (US$19.9 bilion), manakala pelaburan daripada sumber domestik menyumbang 29.1 peratus yang berjumlah RM35.9 bilion (US$8.2 bilion).

“Dengan pejabat baharu MIDA di Istanbul, Türkiye sudah pasti akan menyumbang secara besar-besaran kepada pembangunan sosio-ekonomi dan membawa pertumbuhan baharu ke dalam landskap pelaburan Malaysia,” tambahnya.

-- BERNAMA

 

 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan