EKONOMI

ÉOLANE BUKA KILANG BERNILAI RM45 JUTA DI TAMAN TEKNOLOGI TINGGI KULIM

24/04/2024 08:48 PM

KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- Firma perkhidmatan pembuatan elektronik Perancis, éolane telah membuka kilang baharu di Taman Teknologi Tinggi Kulim, Kedah, dengan jumlah pelaburan sebanyak 8.7 juta euro (RM45 juta) untuk fasa pertama projek itu.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkata éolane dijangka akan mewujudkan kira-kira 150 peluang pekerjaan di Kedah dalam fasa tersebut.

Selain itu, éolane merancang meningkatkan kapasiti pengeluarannya dalam fasa kedua bagi memenuhi permintaan masa depan produk elektronik berkualiti tinggi.

"Kemudahan baharu itu mencerminkan pencapaian terpenting dalam pelan hala tuju kemampanan éolane untuk memenuhi permintaan industri yang semakin meningkat secara mampan.

"Ianya dilengkapi sepenuhnya dengan barisan serta sistem pengeluaran digital yang canggih," kata MIDA dalam satu kenyataan.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Pengarah MIDA Kedah Mohd Rushdan Mohd Ghazali dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) éolane, Olivier Clement. 

CEO MIDA Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata fasiliti baharu itu adalah sejajar dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu Malaysia (NIMP) 2030, sehingga menarik keyakinan éolane terhadap pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mampan.

"Kesungguhan kami tidak akan terhenti dalam memastikan kilang automatik itu komited kepada amalan kelestarian, malah selain kejayaan, kami mahu menyepadukan Malaysia ke dalam rantaian nilai antarabangsa éolane yang paling utama.

"Kami berdedikasi untuk menyokong pemimpin industri seperti éolane dan berhasrat untuk melihat pencapaian masa depan mereka  di persada lobal," katanya.

Malaysia secara aktif telah mempromosi dan melaksanakan inisiatif pembangunan lestari selaras dengan aspirasi pelaburan negara dan matlamat pembangunan.

Selaras dengan ini, éolane, melalui pelan hala tuju penciptaan nilai bersamanya, mahu menyumbang kepada matlamat kemampanan Malaysia seperti mengurangkan penggunaan tenaga, memupuk pertumbuhan ekonomi dan mencapai kecemerlangan operasi di kilang digital itu.

Éolane juga telah mewujudkan pelan hala tuju kemampanannya bagi memacu pertumbuhan, inovasi dan produktiviti syarikat melalui penglibatan ESG.

"Kami telah memilih Taman Teknologi Tinggi Kulim, Kedah, sebagai lokasi baharu untuk kilang kami, kerana kami percaya negeri ini memiliki infrastruktur, bakat serta keupayaan yang diperlukan bagi memenuhi permintaan industri pembuatan.

"Dengan kemudahan baharu ini, kami akan dapat mengambil  peluang selain memanfaatkan permintaan industri, bukan sahaja di Kedah atau Malaysia tetapi juga di rantau Asia yang lebih luas," tambah Clement.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan