EKONOMI

PAVILION DALAM TALIAN ALIBABA.COM BANTU PKS MALAYSIA TEROKA PASARAN GLOBAL

26/09/2022 06:35 PM

KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia kini mampu mengukuhkan kedudukan mereka dalam pasaran halal antarabangsa berikutan pelancaran Pavilion Halal dalam talian yang direka khusus di platform perniagaan kepada perniagaan (B2B) Alibaba.com.

Dilancarkan sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) ke-18, Pavilion Halal itu akan menampilkan pembekal halal Malaysia yang diperakui, memudahkan mereka memahami permintaan daripada pembeli di lebih 190 negara di Alibaba.com, mendahului penjual dari semua pasaran yang lain.

Pavilion Halal menampilkan pelbagai kategori produk dengan memberi lebih fokus kepada makanan dan minuman.

Ketua Pemasaran dan Pembangunan Perniagaan Alibaba.com Asia Pasifik, Nianci Phang berkata dengan peralihan pembeli B2B ke arah e-dagang sebagai legasi daripada pandemik global, mereka telah menyaksikan minat yang semakin meningkat terhadap produk halal.

Beliau berkata Alibaba.com mencatatkan lonjakan tahun ke tahun sebanyak 39 peratus dalam jumlah pertanyaan daripada pembeli bagi tempoh 2020 hingga 2021, di mana 21 peratus daripadanya dihantar kepada pembekal Malaysia.

“Negara pembeli utama yang melakukan pertanyaan itu termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Brazil dan Pakistan.

“Justeru, ia bukan seperti apa yang kami bayangkan bahawa pertanyaan hanya datang dari negara-negara Islam, atau rantau Timur Tengah,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Pavilion Halal dalam talian Alibaba.com baru-baru ini.

Sehubungan itu, beliau menggesa PKS Malaysia untuk ‘berfikir di luar kotak’.

“E-dagang menyediakan peluang yang luas. Penjual Alibaba.com boleh melihat negara mana yang menghantar jumlah pertanyaan tertinggi ke dalam produk mereka menerusi pelbagai data yang disediakan dalam talian,” katanya.

Phang berkata Pavilion Halal itu juga merupakan langkah penting ke arah menjadikan pasaran Alibaba.com lebih inklusif untuk pembeli global dengan keperluan penyumberan khas sambil membantu PKS Malaysia merebut peluang pasaran dengan lebih baik.

Walaupun banyak cabaran yang dihadapi oleh PKS dalam eksport, beliau yakin PKS halal Malaysia yang berfikiran terbuka untuk menjalankan operasi mereka dalam talian dan menggunakan sepenuhnya peralatan digital dan e-dagang akan berada pada kedudukan yang lebih baik untuk mengembangkan jejak global mereka.

Contoh terbaik adalah Yong Mama, pengeluar makanan ringan halal generasi kedua yang berpangkalan di Perak.

Syarikat itu telah menjual ke pasaran domestik dengan eksport berskala kecil ke Singapura selama 20 tahun.

Akibat pandemik, syarikat itu menyertai Alibaba.com pada tahun 2020. Sejak itu, jumlah pengeluaran Yong Mama untuk eksport naik sebanyak 80 peratus selain menerima pertanyaan daripada Brunei, Mesir, Thailand, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Selain Singapura, mereka juga telah meningkatkan eksport ke Korea Selatan dan dalam tempoh enam bulan selepas mendapat pertanyaan pertama dari Kemboja, ia bukan sahaja memenuhi satu pesanan tetapi pesanan ulangan kali kedua.

Pengasas bersama Yong Mama Food Industries Sdn Bhd, H.G Cheah berkata, perniagaan Malaysia perlu membangunkan strategi yang jelas untuk berkembang maju dalam pasaran e-dagang B2B global dan mengenal pasti apa yang menjadi popular dalam pasaran yang disasarkan dan produk yang sesuai untuk dieksport.

“Ia juga penting untuk memahami dan mematuhi peraturan di setiap pasaran masing-masing sambil mengambil perhatian terhadap peluang baharu.

“E-dagang membolehkan Yong Mama berkembang daripada PKS mikro (PKS) yang menjual kebanyakannya kepada pelanggan domestik beralih menjadi sebuah syarikat global,” katanya.

Melalui Alibaba.com, Phang berkata pembekal yang telah menggunakan platform itu secara automatik menikmati bukan sahaja akses kepada pembeli di lebih 190 negara tetapi juga mampu mengurus dan memiliki hubungan pelanggan yang baik serta berjaya membina strategi perniagaan eksport dalam talian.

Beliau berkata sebagai satu-satunya pasaran B2B di Malaysia yang menawarkan pengalaman perdagangan digital secara keseluruhan, Alibaba.com menyediakan pengeksport PKS Malaysia dengan rangkaian perkhidmatan yang komprehensif meliputi pengurusan kedai dalam talian, sokongan terjemahan, pemasaran digital dan penyumberan, urus niaga dalam talian, logistik, pelepasan kastam, pertukaran asing dan analitik platform.

"Kami juga menawarkan penjual peluang pemasaran yang lebih besar melalui festival jualan dalam talian seperti 'Super September' yang merupakan acara penyumberan B2B tahunan terbesar Alibaba.com, ia dapat menarik berjuta-juta pembeli di seluruh dunia," katanya.

Phang berkata Alibaba.com turut memperkenalkan perkhidmatan perlindungan pesanan - ‘Trade Confidence in Malaysia’ seawal tahun 2017 dan menambah baik perkhidmatan itu pada 2021 untuk membantu mewujudkan kepercayaan antara pembeli dan pembekal serta menampung kerugian pembeli sekiranya pembayaran, penghantaran dan pertikaian berkaitan kualiti produk.

Beliau berkata perkhidmatan mencerminkan komitmen Alibaba.com untuk meningkatkan profil PKS Malaysia dalam perdagangan global.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Pengeksport) Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Abu Bakar Yusof berkata Pavilion Halal merupakan satu lagi kejayaan bagi Alibaba.com untuk mendigitalkan PKS Malaysia dan menggunakan program bantuan e-dagang rentas sempadan MATRADE iaitu eTRADE.

Inisiatif ini bermula dalam Rancangan Malaysia Ke-11, Alibaba.com merupakan salah satu rakan strategik pertama MATRADE dalam memperkukuh kesediaan digital PKS Malaysia.

“Kerajaan menyedari kepentingan eksport e-dagang rentas sempadan walaupun sebelum penularan COVID-19.

“Disebabkan oleh pandemik itu, MATRADE telah meningkatkan usaha dan meneruskan program e-dagang rentas sempadan eTRADE 2.0 yang ditambah baik seterusnya kami membuka lebih banyak platform perdagangan rentas sempadan tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Abu Bakar juga berkata MATRADE menghargai kerjasama berterusan dengan Alibaba.com.

“Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, kerajaan menetapkan sasaran sumbangan eksport oleh PKS pada 25 peratus menjelang tahun 2025, berbanding hanya 11.7 peratus sumbangan eksport tahun lepas.

“Justeru, perjalanan masih jauh lagi tetapi PKS Malaysia perlu meningkatkan usaha promosi mereka, bukan sahaja bergantung kepada kaedah tradisional atau konvensional tetapi menggunakan e-dagang, mengeksport secara digital,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan