BERITA COVID–19   Penyelidik Taiwan temui kaedah rawat pembekuan darah pesakit COVID-19 | Pemilik premis dibenar tentukan pemakaian pelitup muka | Kementerian Kesihatan pertimbang beli vaksin COVID-19 lawan varian Omicron - Khairy | Kes baharu COVID-19 turun 16.9 peratus minggu lepas - Dr Noor Hisham | Jepun akan mudahkan prosedur kuarantin COVID-19 di lapangan terbang | 
AM

Semua negara perlu bertanggungjawab ambil pelarian Rohingya - Ismail Sabri

24/09/2022 06:57 AM

Oleh D. Arul Rajoo

NEW YORK, 23 Sept (Bernama) --  Kecewa dengan situasi di Myanmar yang menyumbang kepada isu pelarian Rohingya di Malaysia, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini berkata amat penting kesemua negara mengambil tanggungjawab untuk menempatkan lebih banyak pelarian Rohingya di negara masing-masing.

Beliau berkata walaupun bukan merupakan negara yang menandatangani Konvensyen Status Pelarian 1951 dan Protokol 1967, Malaysia menerima hampir 200,000 pelarian Rohingya atas dasar kemanusiaan.

 "Krisis politik di Myanmar juga telah memburukkan lagi keadaan berjuta-juta pelarian Myanmar termasuklah pelarian etnik Rohingya," kata Perdana Menteri ketika menyampaikan Kenyataan Negara di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-77 di sini, Jumaat.

Malaysia, kata beliau amat menekankan betapa pentingnya dunia menangani punca utama krisis Rohingya  dan beliau percaya bahawa isu berkaitan tidak akan diselesaikan selagi krisis di negara tersebut berterusan.

"Di rantau Asia Tenggara, Malaysia telah memainkan peranan penting dalam penyelesaian konflik. Sebagai contoh, Malaysia terlibat dalam proses damai antara Kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) sejak 2001. Namun Malaysia kecewa dengan situasi di Myanmar sejak tercetusnya rampasan kuasa pada Februari 2021," kata beliau.

Lebih mendukacitakan Majlis Keselamatan PBB tidak mengambil sebarang tindakan serius dalam menangani situasi ini, malah ada yang melihat Majlis itu lepas tangan dan menyerahkannya kepada ASEAN.

“Malaysia kecewa tiada kemajuan bermakna dalam pelaksanaan ‘Kesepakatan Lima Perkara’ ASEAN terutamanya oleh pihak junta Myanmar. Dalam acuannya sekarang, ‘Kesepakatan Lima Perkara’ ASEAN ini tidak boleh diteruskan lagi.

“Justeru, kesepakatan ini perlu diberi nafas baharu dan diperhalusi berdasarkan rangka kerja, jangka masa dan matlamat akhir yang lebih jelas. Sesungguhnya, yang lebih penting ialah aspirasi rakyat Myanmar perlu dipenuhi,” kata beliau.

Sebelum ini, Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, ASEAN perlu memutuskan sama ada konsensus mengenai Myanmar itu masih relevan atau harus dibatalkan segera, dan sebarang keputusan perlu dicapai sebelum sidang kemuncak ASEAN pada November.

Mengenai isu Wilayah Palestin Yang Diduduki (OPT), Ismail Sabri berkata Malaysia juga kecewa dengan pendudukan secara kejam oleh Israel yang berlarutan sekian lama sehingga rakyat Palestin terus hidup dalam belenggu dasar-dasar diskriminasi rejim itu.

"Penempatan haram semakin berleluasa. Ini bertentangan dengan undang-undang antarabangsa, termasuk resolusi Majlis Keselamatan 2334. Hak paling asas rakyat Palestin terus dinafikan," katanya.

Justeru, Malaysia berpandangan kuasa-kuasa besar perlu bersikap jujur dalam menyelesaikan isu kekejaman yang dihadapi rakyat Palestin, kata Perdana Menteri.

“Pendirian tegas itu harus diambil oleh PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu), bagi memastikan krisis yang telah berlarutan di bumi Palestin sejak sekian lama dapat diselesaikan segera,” kata beliau.

"Apa yang berlaku hari ini, kebanyakan negara begitu cepat bertindak dalam kes yang berlaku di Ukraine. Malaysia mahu tindakan yang sama harus diambil bagi menyelesaikan isu di Palestin. Israel perlu berhenti menjadi sebuah entiti Apartheid!" kata beliau.

-- BERNAMA     


   


 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan