DUNIA

Angelina Jolie lawat Pakistan untuk tarik perhatian bantu mangsa banjir

20/09/2022 09:37 PM

Oleh Shakir Husain

NEW DELHI, 20 Sept (Bernama) -- Pelakon Hollywood Angelina Jolie, melawat Pakistan untuk menarik perhatian antarabangsa mengenai banjir yang melanda negara itu ketika banyak negara terus menghantar bantuan.

Beliau mengunjungi daerah Dadu di wilayah Sindh pada Selasa, dan bertemu mangsa banjir, lapor saluran televisyen Pakistan.

Lebih 33 juta penduduk terjejas oleh bencana banjir itu berikutan hujan lebat monsun sejak pertengahan Jun.

Jumlah kematian melepasi 1,550, termasuk beratus-ratus kanak-kanak, dan kira-kira 13,000 lagi cedera.

Bantuan antarabangsa berterusan tiba di Pakistan, dengan Turkiye dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menjadi antara pembekal utama barangan bantuan.

Kedua-dua negara menghantar berpuluh-puluh penerbangan bantuan sejak Ogos ketika pihak berkuasa Pakistan bertungkus-lumus menangani bencana di wilayah Sindh, Balochistan dan Khyber Pakhtunkhwa.

Sejak Isnin, dua penerbangan bantuan tiba di lapangan terbang Karachi dari Oman, satu dari Dubai dan sebuah lagi penerbangan yang diatur UNICEF.

Turkiye dan UAE menghantar paling banyak bantuan menerusi udara selain menggunakan tren oleh Turkiye 

Enam “Tren Ikhlas” Turkiye berlepas pada Selasa manakala enam lagi bakal menyusul pada minggu-minggu akan datang, menurut laporan media Pakistan.

Sementara itu, Bank Pembangunan Asia (ADB) pada Selasa memaklumkan institusi itu ‘sedang berusaha untuk segera menyediakan pakej bantuan serta pemulihan.”

“Ia disediakan bagi membantu penduduk, kehidupan mereka dan infrastruktur segera serta untuk jangka panjang,” menurut ADB sambil menambah bahawa maklumat lanjut akan diberikan apabila pakej bantuan dimuktamadkan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan