KOTA BHARU, 17 Sept (Bernama) -- Kembara Riuh Keluarga Malaysia (KRKM) edisi keempat di Kelantan 'RIUH SOKMO! Bersama Celcom’ yang bermula semalam berjaya menarik ramai pengunjung yang berminat dengan kesenian dan kebudayaan.
Rata-rata pengunjung yang ditemui menyifatkan pengisian program memartabatkan seni budaya dan memperkasakan pembangunan kreativiti produk tempatan sesuai dengan minat masyarakat setempat.
Seorang pelajar sebuah kolej swasta, Amir Asyraf Zuhdi, 22, dari Kampung Peringat berkata beliau hadir bersama rakan-rakan memandangkan mereka terlibat dalam pembelajaran kesenian melukis batik di kolej berkenaan.
“Program Kembara ‘RIUH SOKMO! Bersama Celcom’ ini menghimpunkan penggiat seni yang terdiri daripada pelukis wayang kulit dan batik. Ini adalah peluang kepada penuntut untuk mencari idea seterusnya digunakan semasa belajar,” katanya ketika ditemui di Stadium Mini Majlis Daerah Ketereh di sini hari ini.
KRKM 'RIUH SOKMO! Bersama Celcom’ berlangsung selama tiga hari di Stadium Mini Majlis Daerah Ketereh, di sini.
Bagi Anis Adawiyah Ishak, 40, berkata beliau teruja berkunjung ke program itu bagi mencari produk jualan seperti pakaian dan kraf tangan.
“Biasanya program begini banyak promosi dan diskaun ditawarkan dan saya sangat berminat mencari rekaan pakaian fesyen terkini dengan motif tradisional,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial