AM

Sambutan Hari Malaysia 2022 mengagumkan - Annuar

17/09/2022 01:11 AM

MELAKA, 17 Sept (Bernama) -- Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa menyifatkan sambutan Hari Malaysia 2022 peringkat kebangsaan di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir di sini sebagai berjaya dan mengagumkan.

Beliau berkata acara yang diatur berjalan lancar dan meriah selain berjaya menterjemahkan semangat Keluarga Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa lnduk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 itu berkata pemilihan Melaka sebagai tuan rumah sambutan amat tepat dengan statusnya sebagai negeri pelancongan utama negara.

"Saya rasa persembahan malam ini dalam konteks sambutan yang boleh kita gunakan adalah mengagumkan. 

"Persembahan yang baik dalam memberi refleksi kepelbagaian kaum di Sabah, Sarawak dan Semenanjung," katanya kepada pemberita selepas tamat sambutan itu malam ini.

Beliau berkata idea tema pemakaian busana era 60-an dan etnik juga dilihat berjaya apabila rata-rata pengunjung memakainya malam ini. 

Katanya sambutan yang diterima juga sangat luar biasa dengan kehadiran pengunjung melepasi sasaran awal 20,000 orang dan skrin gergasi yang diletak di sekitar lokasi sambutan memberi peluang kepada semua pengunjung untuk sama-sama berhibur sambil menghayati sambutan gilang-gemilang itu.

Annuar berkata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua peserta, petugas dan pihak pengelola acara atas kejayaan sambutan yang meriah itu.

"Semua terhibur, tetamu kenamaan dan penonton. Terima kasih kepada pemuzik dan artis yang terlibat serta peserta yang menyertai perarakan. Semuanya berjalan dengan baik, tidak ada sebarang rintangan yang besar malah cuaca malam ini juga baik.

"Ia akan menjadi kenangan kepada negara kita dari Perlis hingga ke Sabah," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan