KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Program Anak Kita menunjukkan keberkesanan apabila pelaksanaan Program Pecutan SPM 2024 berjaya mengatasi sasaran awal yang ditetapkan, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
Beliau berkata berdasarkan laporan yang dibentangkan pasukan Yayasan Hasanah dan Unit Pantau MADANI semalam, program intervensi Membaca, Menulis dan Mengira (3M) turut mencatatkan perkembangan yang memberangsangkan.
Justeru, beliau berkata pihaknya berpuas hati dengan keberkesanan program tersebut selepas hampir setahun pelaksanaannya.
"Tahun lalu, Kerajaan MADANI menerusi Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kewangan meluncurkan Program Anak Kita bertujuan menangani isu keciciran pembelajaran, meningkatkan penguasaan literasi dan numerasi serta membantu murid dalam persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
"Setelah hampir setahun penganjuran, pelbagai program intervensi berjaya dilaksanakan menerusi kerjasama strategik dengan Yayasan Hasanah, Unit Pantau MADANI, universiti awam, syarikat korporat dan pertubuhan masyarakat sivil (CSO),” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Fadhlina berkata Program Anak Kita dipantau secara menyeluruh merangkumi aspek perancangan, pelaksanaan dan keberkesanan impak.
Beliau turut berharap jangkauan Program Anak Kita dapat terus diperluaskan agar memberi manfaat kepada lebih ramai murid di seluruh negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial