AM

Kerajaan sokong Masjid Kampung Laut jadi Tapak Warisan UNESCO

10/09/2022 12:32 AM

KOTA BHARU, 9 Sept (Bernama) -- Kerajaan menyokong penuh langkah mewartakan Masjid Kampung Laut sebagai Monumen Kebangsaan di bawah Jabatan Warisan Negara serta Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam catatan di laman Facebook hari ini menyifatkan langkah itu sebagai sangat signifikan.

“Saya amat gembira kerana setelah lebih 50 tahun, hasrat rakyat Kelantan untuk membawa pulang Masjid Lama Kampung Laut ini menjadi kenyataan ibarat ‘sirih pulang ke gagang.’

“Kerajaan turut membelanjakan sebanyak RM40 juta untuk Projek Pembangunan Semula Kampung Laut yang terdiri daripada Laman Warisan Serunding, Laman Warisan Seni dan pemindahan Masjid Lama Kampung Laut,” katanya.

Masjid tertua di Malaysia berusia 400 tahun itu telah dibawa pulang ke lokasi asal di Kampung Laut, Tumpat bersama komponennya seperti struktur menara, mimbar, kolah dan bedok selepas 50 tahun dipindahkan ke Nilam Puri berikutan tapak asalnya ditenggelami air akibat banjir.

Ismail Sabri juga berkata projek pembinaan Jambatan Palekbang, yang menghubungkan Kota Bharu dengan Tumpat bermula akhir tahun ini, mampu menyelesaikan masalah kesesakan aliran trafik.

Beliau berkata jambatan sepanjang empat kilometer itu akan menjadi pemangkin utama kepada Kelantan sebagai destinasi pelaburan, pelancongan dan dapat menambah baik taraf sosioekonomi rakyat tempatan.

“Inilah komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan untuk memastikan pembangunan seimbang dinikmati oleh rakyat Kelantan selaras dengan aspirasi Keluarga Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan