PETALING JAYA, 5 Sept (Bernama) -- Pasukan bola sepak wanita Melaka United bakal berhadapan saingan sengit dalam kejohanan bola sepak wanita Piala Tun Sharifah Rodziah 2022 yang akan membuka tirainya esok di JSA Arena Setia Alam, Shah Alam.
Ini kerana juara Piala Tun Sharifah Rodziah edisi 2019 itu, diundi dalam Kumpulan A bersama pasukan Pulau Pinang dan Sekolah Sukan Malaysia (SSM) Pahang, yang masing-masing merupakan juara Zon Utara dan Zon Tengah pada Liga Wanita Nasional (LWN), dalam satu majlis undian berlangsung hari ini.
Selain tiga pasukan itu, skuad Sabah turut tersenarai dalam Kumpulan A.
Mengakui kedua-dua pasukan itu merupakan saingan sengit buat skuad Melaka, Ketua Jurulatihnya S. Ganesan Pillay bagaimanapun optimis, skuad kendaliannya mampu mempertahankan gelaran juara piala wanita berprestij itu.
Beliau berkata keputusan undian itu adalah seimbang, meskipun Melaka merupakan satu-satunya naib juara tunggal dalam saingan LWN sebelum ini.
“Memang ikutkan SSM Pahang dan Pulau Pinang adalah kumpulan yang kuat, tapi kita belum tengok lagi permainan mereka di padang.
“Saya tengok Kumpulan A seimbang pasukannya. Dengan pemain saya yang komited, saya yakin dapat pertahankan kejuaraan,” katanya kepada Bernama selepas sidang media di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di sini hari ini.
Sementara itu, Negeri Sembilan yang merupakan juara Zon Selatan LWN, dijangka tidak berhadapan masalah apabila diundi dalam Kumpulan B bersama Selangor dan Kelantan United, yang masing-masing merupakan naib juara LWN Zon Tengah dan Zon Utara.
Kumpulan B, turut membabitkan pasukan Sarawak dalam perebutan tiket ke perlawanan peringkat kumpulan itu.
Piala Tun Sharifah Rodziah yang membuka tirainya bermula esok hingga 11 Sept, berlangsung di JSA Arena Setia Alam, Shah Alam manakala perlawanan akhir diadakan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial