SHAH ALAM, 24 Jun (Bernama) -- Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat ke program Women Summit & Women #QuranHour 2026 di Auditorium Dahlia Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Shah Alam, di sini hari ini.
Keberangkatan tiba baginda pada 9.30 pagi disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) Marhaini Yusoff, dan Presiden Asia Pacific Women's Coalition for Al-Quds and Palestine (ApWCQP) Dr Fauziah Mohd Hasan.
Program anjuran WUIF dan ApWCQP itu menghimpunkan kira-kira 400 wanita dari seluruh Selangor serta peserta daripada beberapa negara termasuk Singapura dan Indonesia bagi memperkukuh pemikiran, membentuk karakter serta meningkatkan ketahanan jiwa berteraskan al-Quran.
Bertemakan 'Women of Grit', program berkenaan diinspirasikan daripada ketabahan wanita Palestin, khususnya di Gaza yang terus mempertahankan akidah, institusi keluarga dan pendidikan anak-anak meskipun berdepan peperangan, kehilangan insan tersayang, kemusnahan kediaman serta pelbagai cabaran kehidupan.
Turut hadir Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) Fazrul Ismail, Johan Tilawah Al-Quran Antarabangsa 2014 Tirmizi Ali, dan Pensyarah Kanan Jabatan Psikiatri Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Profesor Madya Dr Nora Mat Zin.
Sementara itu, Pengarah Women Summit & Women #QuranHour 2026 Gharizah Hashim berkata program itu membantu wanita membina kekuatan berpandukan wahyu dalam mendepani cabaran kehidupan yang semakin kompleks.
“Women of Grit bukan sekadar mengenai kekuatan menghadapi kesusahan, tetapi bagaimana wanita membina jiwa yang tenang, membuat keputusan dengan hikmah dan terus melangkah dengan panduan al-Quran.
"Kami mahu melahirkan wanita yang mampu bangkit daripada ujian, menjadi sumber kekuatan kepada keluarga serta terus menyumbang kepada masyarakat dan ummah,” katanya kepada media pada program itu.
Gharizah berkata pembinaan cara berfikir dan karakter wanita berasaskan al-Quran perlu diperkukuh agar lahir generasi wanita yang mempunyai tujuan hidup yang jelas, berjiwa ihsan dan berdaya tahan.
Dalam pada itu, Marhaini berkata agenda Women Summit dan Women #QuranHour 2026 akan diperluas ke peringkat negeri melalui rangkaian Rumah Ngaji, iaitu kelas pengajian al-Quran percuma untuk masyarakat dengan tajaan komuniti setempat, di seluruh negara.
“Kehadiran wakil-wakil Rumah Ngaji negeri pada program kali ini menjadi permulaan kepada gerakan yang lebih tersusun untuk memperkasakan wanita melalui pendekatan baca, faham dan amal al-Quran. Insya-Allah program ini akan diteruskan pada peringkat negeri agar manfaatnya dapat dirasai lebih ramai wanita di seluruh negara,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial