AM

Dana RM800,000 beri sinar buat graduan anak Risda di UCAM

19/08/2022 10:14 PM

ALOR GAJAH, 19 Ogos (Bernama) - Graduan Kolej Universiti Agrosains Malaysia bakal menikmati lebih banyak kemudahan dalam pengajian mereka, apabila Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) menyediakan dana sejumlah RM800,000, untuk Skim Bantuan Pendidikan Yayasan RISDA.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata dana menerusi Yayasan RISDA yang diberi bagi tempoh 2022 hingga 2023 itu, secara tidak langsung dilihat mampu memperkasakan pendidikan anak-anak Risda daripada golongan B40.

“Skim Bantuan Pendidikan Yayasan RISDA ini meliputi lima kategori yang merangkumi pemberian secara sekali beri, biasiswa dan komputer riba,” katanya dalam ucapan ketika hadir sempena Lawatan Kerja ke Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi RISDA Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif, Exco Pendidikan Negeri Melaka Datuk Rais Yasin, dan Ketua Pengarah RISDA Datuk Abdullah Zainal.

Katanya perincian skim bantuan tersebut adalah Bantuan Sara Hidup Pelajar UCAM bernilai RM450 sebulan sepanjang pengajian, biasiswa pelajar UCAM (RM6,800 ke RM13,800 setahun mengikut kursus), Skim Intensif pelajar UCAM (RM500 secara sekali beri), Skim Bantuan Komputer Riba secara sekali beri dan Anugerah Yayasan RISDA berbentuk dermasiswa bernilai RM2,000 bagi pelajar cemerlang.

Jelasnya RISDA telah memberi fokus dalam bidang pendidikan sejak 65 tahun lalu dan melalui pelbagai transformasi dan evolusi, selaras dengan perkembangan sistem pendidikan dan keperluan tenaga kerja dalam sektor pertanian, khususnya perladangan getah.

“Setakat ini UCAM telah berjaya melahirkan lebih 10,000 graduan yang bukan hanya berada dalam agensi pertanian dan perladangan, tetapi juga ada yang bergelar usahawan bahkan jutawan. Jadi kita mahu lebih ramai graduan dilahirkan dan kemajuan bidang pertanian serta perladangan akan lebih berkembang melalui idea dan perubahan yang dibawa mereka,” katanya.

Pada lawatan kerja itu juga Mahdzir turut menyaksikan Majlis Pertukaran Dokumen Memorandum Persefahaman antara pihak UCAM dan tiga rakan industri iaitu GrasiCili Plt, Uwais Cendawan Agrotech Enterprise dan Bitara Emas (M) Sdn Bhd, bagi menyediakan pelajar UCAM yang memenuhi kriteria pasaran pekerjaan terkini. 

Pada majlis yang sama juga, empat alumni UCAM menerima Anugerah Ikon UCAM sebagai tanda penghargaan dan sokongan di atas kejayaan di dalam kerjaya masing-masing.

Penerima anugerah tersebut adalah Basyaruddin Ali yang terlibat dalam bidang landskap, Abdul Muhaimin Hussin (bidang tanaman buah-buahan dan penternakan haiwan), Mohammad Asyraf Normoley (penternakan ayamn organik), dan Azri Khairi Juaher (penternakan ayam kampung).

Sementara itu, Azri Khairi berkata UCAM kini mampu menjadi platform terbaik buat golongan muda yang tidak dapat melanjutkan pelajaran ke universiti awam, yang mana di kampus tersebut akan diajar pelbagai teknik pertanian, penternakan dan perladangan yang boleh menghasilkan pendapatan lumayan.

“Jadi ambil peluang rebut biasiswa yang ditawarkan melalui peruntukan khas seperti yang diumumkan menteri tadi. Malah peruntukan khas lain yang ditawarkan juga sepatutnya tidak dilepaskan,” katanya. 

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan