KUCHING, 12 Ogos (Bernama) -- Kerja-kerja pembinaan lapangan terbang baharu yang dicadangkan di Lawas, terletak 1,039 kilometer dari sini, dijangka bermula pada suku pertama tahun depan dan dijangka siap menjelang akhir 2026.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata lapangan terbang baharu itu akan menjadi pencetus perubahan yang mampu merangsang aktiviti ekonomi daerah paling utara di Sarawak itu.
Beliau berkata projek itu dibina tepat pada waktunya apabila projek mega seperti Lebuhraya Pesisir Utara (NCH), Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) serta Projek Lebuh Raya Trans Borneo (LTB) akan dibina di kawasan itu.
“Oleh itu, lapangan terbang baharu ini adalah penting kerana ia akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi di wilayah utara,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) sempena perasmian penutup sesi Makmal Penilaian Lapangan Terbang Lawas yang baharu hari ini.
Awang Tengah, yang juga pengerusi Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA), berkata Lawas memerlukan lapangan terbang yang lebih besar untuk menampung kemasukan pelancong perniagaan dan percutian ke bandar itu untuk menyertai aktiviti ekonomi dan pelancongannya.
Beliau berkata Kementerian Perdagangan Perindustrian dan Pelaburan Sarawak sedang menyiapkan kajian pelan induk bagi pembangunan terminal perindustrian yang akan menjadi sebahagian daripada hab petrokimia Lawas.
Selain itu, beliau berkata RECODA telah menyelesaikan kajian mengenai cadangan pelabuhan laut dalam baharu di Lawas dan kedua-dua kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti faktor kejayaan dan ekosistem bagi menyokong cadangan pembangunan industri petrokimia di wilayah ini.
Makmal penilaian nilai selama dua hari itu dihadiri perunding dan pegawai daripada pelbagai agensi kerajaan yang berkaitan bagi mengumpul input untuk projek lapangan terbang baharu Lawas bagi mencapai nilai yang lebih baik dan kos yang optimum.
Lawas kini mempunyai lapangan terbang pendaratan dan pelepasan jarak pendek (STOL), yang telah beroperasi sejak 1961 dan, walaupun dinaik taraf pada 1996, ia terus mengalami isu banjir serta peningkatan penumpang dan kargo.
Kementerian Pengangkutan, dalam laporan kajian kemungkinannya pada 2016, telah mengesyorkan lapangan terbang baharu dengan panjang landasan 1,500 meter yang boleh memuatkan pesawat ATR 72-500 untuk dibangunkan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial