HARGA AYAM: PENGELUAR TURUT TERKESAN
KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Terdapat pengeluar ayam terkesan dengan pelaksanaan harga siling ayam yang ditetapkan pada RM9.40 sekilogram di Semenanjung Malaysia.
Menteri Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata dianggarkan lebih 80 ladang ternakan ayam kecil terpaksa ditutup selepas tidak lagi mampu menampung kos selain terpaksa menjual ayam pada harga ditetapkan.
“Yang terjejas, pengeluar ayam kerana sistem mengawal harga ayam ini kita laksana terlalu lama melibatkan ladang ternakan ayam, borong dan runcit. Sebab itu, kami merayu walaupun kita hendak harga murah tetapi jangan lupa seluruh ekosistem.
“Kita mesti faham di rantaian ada yang terkesan, iaitu pengeluar dan dalam advokasi kepada pengguna kami minta pengguna memahami situasi ini kerana kalau tidak kita akan menjejaskan sama sekali industri ayam ini,” katanya menjawab soalan tambahan Senator Noraini Idris mengenai subsidi kepada penternak ayam, di Dewan Negara hari ini.
-- BERNAMA
LALUAN KHAS KE PROGRAM SIJIL KOLEJ KOMUNITI BAGI PELAJAR ORANG ASLI
KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) telah bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti bagi menempatkan pelajar Orang Asli melalui laluan khas ke program sijil di Kolej Komuniti dengan pembiayaan pendidikan daripada JAKOA.
Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar I Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata ia merupakan usaha kerajaan bagi meningkatkan jumlah pelajar Orang Asli ke institusi pengajian tinggi di negara ini.
“Pada 2021, seramai 74 orang pelajar secara berkelompok telah diterima masuk dan ditawarkan dalam pelbagai bidang merangkumi Sijil Fesyen dan Pakaian, Sijil Teknologi Maklumat, Sijil Servis Kenderaan Ringan dan Sijil Servis Kenderaan Ringan (Bridging),” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Ajis Sitin mengenai kemajuan pendidikan yang dicapai oleh masyarakat Orang Asli suku kaum Negrito (Jahai, Kensiu, Lanoh, Kintak, Batek dan Mendrik).
Abdul Rahman berkata kesedaran masyarakat Orang Asli di negara ini dari segi pendidikan juga semakin meningkat susulan terdapat anak-anak masyarakat itu memperolehi keputusan cemerlang dalam peperiksaan awam sekali gus melanjutkan pelajaran ke luar negara.
-- BERNAMA
MINGGU SAINS NEGARA MENDAPAT SAMBUTAN ORANG RAMAI
KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Minggu Sains Negara (MSN) 2022 yang dianjurkan secara dalam talian setiap bulan bermula April hingga Oktober telah mencapai sasaran penyertaan iaitu seramai 1.5 juta orang.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Ahmad Amzad Mohamed berkata beliau menjangkakan MSN 2022 yang bertemakan "Merakyatkan Sains, Menginsankan Teknologi" akan disertai oleh lebih dua juta orang menjelang Oktober nanti.
Dalam pada itu, Ahmad Amzad turut memaklumkan pengunjung ke Pusat Sains Negara (PSN) Kuala Lumpur kini boleh membuat pembayaran tiket melalui kaedah tanpa tunai manakala ia akan mula dilaksanakan di PSN Cawangan Wilayah Utara di Kedah bermula 1 Sept.
Beliau kata demikian ketika menjawab soalan oleh Senator Datuk Nicole Wong Siaw Ting dan soalan tambahan Senator N. Balasubramaniam yang masing-masing bertanya berkenaan usaha meningkatkan minat pelajar terhadap sains dan teknologi, dan tindakan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi susulun aduan mengenai kaedah pembayaran tiket di PSN, pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial