AM

UHIT 2022 hubungkan pemain industri pelancongan Muslim tempatan, antarabangsa

09/08/2022 06:35 PM

KUALA LUMPUR, 9 Ogos (Bernama) -- Pameran Pelancongan Antarabangsa, Umrah, Haji (UHIT) 2022 menjadi platform menghubungkan lebih 100 agensi pelancongan tempatan dengan pemain industri dari Timur Tengah bagi mengukuhkan lagi pasaran pelancongan Muslim. 

Setiausaha Agung Kehormat Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra) Ab Rahman Mohd Ali berkata acara itu menjadi titik pertemuan strategik kepada pemain industri tempatan untuk meneroka peluang perniagaan, selain mewujudkan kerjasama kukuh dalam pasaran industri pelancongan Muslim.

“Kami gembira melihat acara ini bersedia menyahut cabaran baharu apabila peserta tidak lagi dihadkan kepada hanya mempromosikan program haji dan umrah tetapi produk pelancongan lain seperti tarikan sejarah dan Islam.

“Pada masa sama kami amat yakin rakan-rakan ejen tempatan, pengendali umrah dan ejen pelancongan Muslim akan mendapat faedah daripada rangkaian yang dibangunkan semasa pameran ini,” katanya dalam ucapan ketika pelancaran UHIT 2022 hari ini.

Lebih 40 pemain industri pelancongan termasuk pengendali umrah, pengusaha hotel, syarikat pengangkutan dan ejen pelancongan dari Arab Saudi, Jordan, Indonesia dan Malaysia menyertai pameran itu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC)  Mohd Zamri Mat Zain berkata penganjuran acara tersebut yang tertangguh dua tahun ekoran pandemik COVID-19 adalah petunjuk baik bahawa negara sedang membina momentum dalam merancakkan industri pelancongan.

“UHIT merupakan platform terbaik untuk berkongsi pandangan mengenai prospek pelancongan Islam antara pemain industri tempatan dan antarabangsa menerusi sesi membina rangkaian. Inisiatif ini akan meningkatkan lagi tahap kerjasama dan perkongsian matlamat antara pemain industri,” katanya.

Sementara itu, Mohd Zamri turut mengingatkan masyarakat supaya berhati-hati dan tidak terpedaya dengan ejen pelancongan yang menawarkan pakej umrah atau haji yang mencurigakan, sekali gus meminta mereka menyemak status lesen pihak tersebut terlebih dahulu.  

“Saya menyeru para jemaah, pastikan syarikat yang mengendalikan urusan umrah mereka berlesen dengan MOTAC dan semaklah reputasi, kredibiliti syarikat berkenaan agar dapat meneruskan aktiviti umrah dalam keadaan selesa tanpa sebarang masalah,” katanya. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan