EKONOMI

MOF, MIDA TELITI INSENTIF KHUSUS BAGI PELABURAN DNEX, FOXCONN

08/08/2022 02:49 PM

KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) -- Kementerian Kewangan (MOF) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sedang meneliti beberapa insentif khusus bagi pelaburan yang dibuat oleh Dagang NeXchange Bhd (DNeX) dan Hon Hai Precision Industry Co., Ltd (Foxconn) dari Taiwan.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata kementeriannya mahu memberi pertimbangan kepada usaha kerjasama dua syarikat tersebut yang dilihat berupaya menarik pelaburan berteknologi tinggi.

“Kementerian Kewangan dan MIDA sedang meneliti beberapa insentif khusus untuk pelaburan yang dimaksudkan tersebut.

“Ia dalam perbincangan dan saya percaya perkara ini dapat diberi pertimbangan oleh Kementerian Kewangan dalam menarik pelaburan baharu kerana hasrat kita pada hari ini untuk memperkenalkan insentif yang lebih inovatif dalam menarik pelaburan yang berteknologi tinggi dan berkualiti,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Teo Eng Tee@ Teo Kok Chee yang ingin tahu mengenai perkembangan kerjasama antara DNeX dan pengeluar elektronik terbesar di dunia, Foxconn.

Pada 17 Mei, DNeX telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Big Innovation Holdings Limited (BIH), anak syarikat milik penuh Foxconn untuk menubuhkan syarikat usaha sama bagi membina dan mengendalikan loji fabrikasi wafer 12 inci di Malaysia.

Kemudahan tersebut dilihat berupaya menghasilkan sehingga 40,000 wafer sebulan bagi teknologi 28-nanometer dan 40-nanometer.

Menurut beliau, sepanjang 2021, MIDA telah meluluskan 94 projek dengan jumlah pelaburan sebanyak RM148 bilion dalam industri elektrik dan elektronik.

“Sebanyak 64 peratus daripada jumlah ini, bersamaan RM95 bilion jumlah pelaburan adalah daripada projek baharu dan pembesaran oleh syarikat-syarikat multinasional seperti Infineon, Fuji Electric, Intel, Onsemi, Nexperia, AT&S dan lain-lain,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan