KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan sumbangan kepada Sekolah Menengah Agama (Arab) Yayasan Al-Kahriah, Baling, Kedah yang terkesan akibat banjir baru-baru ini.
Menurut perkongsian di laman Facebook Istana Negara, sumbangan itu disampaikan Juruiring Tentera Udara Seri Paduka yang juga Pengarah Operasi Pasukan Bencana Istana Negara Brigadier Jeneral Datuk Mohamed Zahari Yahya kepada Pengetua sekolah berkenaan, Abdul Rahman Yahya semalam.
“Seri Paduka menzahirkan harapan semoga kurniaan itu dapat membantu mengurangkan beban pelajar-pelajar sekolah tersebut,” menurut catatan itu.
Turut hadir pada majlis penyerahan sumbangan ialah Pemangku Timbalan Ketua Polis Daerah Baling ASP Yazid Yahya dan Penolong Pengurus Bantuan Kemanusiaan, Komuniti dan Pembangunan Negara Yayasan TM Nuraini Ishak.
Sebelum ini, Pasukan Bantuan Bencana Istana Negara dan Pasukan Telekom Malaysia Reaching Out Volunteers (TMRovers) turut membantu melakukan kerja pembersihan di sekolah itu serta beberapa kawasan yang terkesan banjir.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial