KUALA LUMPUR, 8 Mac (Bernama) -- Beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik menghampiri gelaran Kejohanan All England 2026 selepas menewaskan pasangan China Chen Bo Yang-Liu Yi dalam aksi separuh akhir pada Sabtu.
Pilihan kedua kejohanan itu mengambil masa 42 minit untuk menumpaskan lawan mereka yang juga pasangan di ranking ke 11 dunia dengan keputusan 21-11, 21-19 pada aksi mendebarkan di Arena Utilita Birmingham.
Aaron-Wooi Yik memperoleh kelebihan awal apabila menguasai set pertama dalam tempoh hanya 15 minit.
Pertarungan set kedua bagaimanapun berlangsung sengit dengan suatu ketika Aaron Wooi Yik ketinggalan 15-18, namun berjaya bangkit menyamakan kedudukan 18-18 sebelum kemenangan memihak kepada pasangan nombor dua dunia itu dengan 21-19.
Menanti Aaron-Wooi Yik di pentas akhir sama ada pilihan pertama kejohanan dari Korea Selatan Kim Won Ho-Seo Seung Jae atau gandingan Indonesia Raymond Indra-Nikolaus Joaquin yang akan bertemu dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Kali terakhir beregu lelaki Malaysia memenangi gelaran All England menerusi Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pada edisi 2007.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial