AM

HOSPITAL PENGAJAR UNISZA DIBUKA KEPADA ORANG AWAM TAHUN DEPAN

03/08/2022 04:13 PM

KUALA NERUS, 3 Ogos (Bernama) -- Hospital Pengajar Universiti Sultan Zainal Abidin (HPUniSZA) dijangka akan dibuka kepada orang awam pada awal tahun depan, kata Naib Canselornya Prof Dr Fadzli Adam.

Beliau berkata pembinaan hospital tersebut telah siap sepenuhnya pada Januari lepas iaitu selepas tujuh tahun, dan sebagai permulaan sebanyak 100 katil akan ditempatkan.

"HPUniSZA baru sahaja memulakan operasi secara dalaman dengan pembukaan klinik perubatan am untuk kakitangan dan pelajar UniSZA pada Isnin lepas (1 Ogos).

"Dalam tempoh itu, pihak pengurusan hospital akan meneliti keberkesanan, kesesuaian dan menambah baik perkhidmatan sebelum operasi dibuka kepada umum kelak," katanya kepada media selepas mengiringi lawatan kerja Pengerusi Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Datuk Seri Dr Ahmad Said ke HPUniSZA hari ini.

Menurutnya pembukaan HPUniSZA itu yang berkonsep patuh syariah, dijangka dapat membantu mengurangkan masalah kesesakan pesakit di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu yang semakin kritikal pada masa ini.

"Pengoperasian HPUniSZA  akan dibuat secara berperingkat kerana masih terdapat peralatan perubatan yang sedang dalam proses perolehan. Sebanyak 951 perjawatan juga telah dan sedang diisi berdasarkan keperluan operasi hospital," katanya.

Selain itu, Fadzli berkata pihaknya akan berkerjasama dengan Institut Jantung Negara (IJN) untuk menawarkan rawatan pakar kardiologi kepada penduduk pantai timur yang kini tertumpu di hospital utama negeri dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian, Kelantan.        Menurutnya perkara tersebut telah dibincangkan dan dipersetujui antara kedua pihak dan dijangka dapat beroperasi secara penuh pada pertengahan tahun depan.

“Bagaimanapun untuk peringkat awal ini, penawaran rawatan kardiologi di HPUniSZA hanya melibatkan perkhidmatan perundingan bagi kanak-kanak dikendalikan oleh tenaga pakar IJN yang akan datang sekali sebulan.

"Kita menyasarkan untuk dapat lakukan pembedahan dan rawatan kardiologi lain pada hujung tahun depan dengan bantuan serta latihan oleh pakar daripada IJN," katanya yang memberitahu terdapat tiga pakar kardiologi dan seorang pakar pembedahan jantung di hospital itu pada masa ini.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan