SUKAN

AZEEM BANGGA DALAM KECEWA

15/06/2024 11:36 PM

KUANTAN, 15 Jun (Bernama) -- Pelari pecut negara Muhammad Azeem Fahmi agak kecewa kerana gagal memperbaiki rekod acara 100 meter (m) miliknya walaupun muncul juara dengan catatan 10.43 saat (s) pada final Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2024, di Stadium Darul Makmur di sini, malam ini.

Azeem berkata dia bagaimanapun gembira kerana mencapai sasaran untuk mengekalkan gelaran sebagai pelari pecut nombor satu negara dan dapat bersaing dengan pelari pecut terpantas di Malaysia.

"Saya akui masih belum berjaya menghasilkan catatan masa memberangsangkan sejak Sukan Asia tahun lepas, namun tujuan utama saya di sini adalah berseronok tanpa meletakkan sebarang tekanan dan menggembirakan seluruh peminat yang hadir.

"Terdapat beberapa halangan untuk saya melakukannya, mungkin disebabkan rintangan angin ketika berlari tadi dan tubuh saya juga belum pulih 100 peratus selepas melalui perjalanan jauh dari Amerika Syarikat ke sini," katanya kepada pemberita sejurus menamatkan acara larian itu.

Pada acara itu, atlet ATM Jonathan Nyepa menduduki tempat kedua dengan catatan 10.54s manakala tempat ketiga diraih Muhammad Efrain Feerzan Khan dari Pahang dengan masa 10.61s.

Atlet berusia 20 tahun dari Teluk Intan, Perak itu berkata selepas menyertai kejohanan ini, dia percaya dirinya berupaya untuk melakar sesuatu apabila tampil pada Terbuka Kazakhstan minggu hadapan.

"Saya menyimpan impian menjadi atlet pertama negara yang berjaya mencatat masa di bawah 10 saat, ia tidak mustahil dilakukan apabila saya membuat persiapan rapi termasuk mendapatkan rehat secukupnya.

"Saya juga masih muda dan amat berharap semua pihak memberikan masa dua atau tiga tahun lagi untuk saya berada di kemuncak prestasi," katanya.

Sebagai rekod, Azeem merupakan pemegang rekod 100m kebangsaan dengan catatan 10.09s dan catatan terbaiknya musim ini ialah 10.24s ketika beraksi pada Kejohanan Olahraga Jemputan LSU di Los Angeles pada 27 April lepas.

Sementara itu, bagi final 100m wanita, Zaidatul Husniah dari ATM dinobatkan johan dengan catatan masa 11.79s, diikuti atlet Selangor Nur Afrina Batrisyia Moha di kedudukan kedua (11.87s) dan di tempat ketiga, Azreen Nabila Alias dari Terengganu dengan catatan 12.21s.

Kejohanan tahunan selama tiga hari itu menampilkan 578 atlet terdiri daripada 17 pasukan dalam negara dan lapan negara luar seperti Australia dan Rusia.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan