PUTRAJAYA, 28 Julai (Bernama) -- Lima tarian tradisional yang menterjemahkan kepelbagaian kaum di negara ini dengan diiringi lagu Keluarga Malaysia, akan menjadi persembahan tarikan pada Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 di Dataran Putrajaya, Sabtu ini.
Pereka Tari Pentarama Jabatan Penerangan Malaysia Jafly Jaapar berkata persembahan tarian tradisional tersebut melibatkan tarian joget yang mewakili kaum Melayu, tarian reben (kaum Cina), tarian klasik kaum India, tarian ngiluk (Sabah) dan tarian ngajat (Sarawak).
“Gerak tari terjemahan kepelbagaian kaum ini dijangka jadi faktor ‘wow’, sesuai dengan lirik lagu Keluarga Malaysia. Kita gabungkan tarian Melayu, Cina, India, Sabah dan Sarawak dalam satu lagu.
"Apa yang akan disajikan ini melambangkan keindahan pelbagai bangsa di Malaysia,” katanya kepada Bernama.
Jafly berkata seramai 11 penari dengan berbusana tradisional Melayu, Cina, India, Sabah dan Sarawak akan mempersembahkan tarian berkenaan ketika lagu Keluarga Malaysia, yang liriknya hasil nukilan Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa, berdurasi kira-kira tiga minit dimainkan.
Semasa tarian dipersembahkan, setiap penari akan mengibarkan Jalur Gemilang bagi menyemarakkan semangat patriotisme hadirin.
Lebih 10,000 Keluarga Malaysia dijangka hadir pada Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 yang merupakan satu daripada aktiviti utama bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini.
Jafly yang berpengalaman lebih 10 tahun dalam bidang tarian berkata bagi memastikan penyampaian mesej ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ bertepatan dengan tema Hari Kebangsaan tahun ini, aspek yang diutamakan adalah keseragaman tarian dan keserasian penari.
“Saya berpegang pada prinsip iaitu akan jadi mudah atau mahir jika selalu berlatih kerana melalui sesi latihan, ia akan bina semangat serta stamina penari untuk persembahan nanti. Prinsip tarian adalah perlu ada temuan mata sesama penari dan penonton untuk ‘hidupkan’ persembahan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial