EKONOMI

Tenaga Boleh Baharu Berterusan Dapat Tampung Keperluan Pusat Data Di Malaysia -- IRENA

12/01/2026 06:41 PM

Daripada K. Naveen Prabu

ABU DHABI, 12 Jan  (Bernama) -- Penyelesaian tenaga boleh baharu (TBB) berterusan atau tanpa henti (RTC) berpotensi menampung keperluan tenaga pusat data Malaysia yang kian ketara, kata Agensi Tenaga Boleh Baharu Antarabangsa (IRENA).

Pengarah Kejuruteraan IRENA Dr Ibraheem Almansouri berkata konsep itu amat relevan bagi sektor-sektor yang bergantung kepada pembekalan tenaga secara berterusan seperti pusat data berikutan tiada projek khusus RTC diumumkan setakat ini.

“Sehubungan itu, penyelesaian RTC itu membolehkan kemudahan berkaitan ditempatkan secara lebih fleksibel, memanfaatkan kos TBB yang lebih rendah selain mengekalkan kebergantungan terhadapnya,” katanya kepada Bernama di pinggir Perhimpunan IRENA yang diadakan bersempena penganjuran acara Minggu Kelestarian Abu Dhabi 2026. 

Penyelesaian RTC itu merujuk kepada pembekalan tenaga elektrik bersih berterusan selama 24 jam yang dicapai melalui gabungan tenaga solar dan angin, penyimpanan tenaga serta pengurusan grid pintar.

Dr Ibraheem juga menyifatkan Malaysia sebagai pasaran strategik bagi organisasi itu yang memaparkan peningkatan permintaan tenaga elektrik yang semakin meningkat, asas perindustrian yang kukuh serta keperluan ketara terhadap bekalan tenaga yang boleh dipercayai dan mampu milik.

“Kami sudah terlibat dalam projek yang memerlukan bekalan TBB stabil dan boleh dipercayai, termasuk pengaturan pengambilan tenaga secara persendirian. Kami juga kekal komited untuk memperluaskan kehadiran IRENA di Malaysia,” katanya.

Laporan pada November lepas menyatakan pasaran pusat data Malaysia di landasan untuk muncul sebagai antara terbesar di Asia Pasifik dengan jumlah kapasiti dijangka meningkat lebih empat kali selepas 2026.

Permintaan itu pada masa ini dipacu oleh pengkomputeran awan dan penyimpanan data dengan bebanan berkaitan kecerdasan buatan (AI) dijangka terus berkembang.

Beliau berkata organisasi itu juga baru-baru ini telah memeterai perjanjian pembelian tenaga (PPA) serta memorandum persefahaman di Malaysia dan dijangka terbabit aktif dalam bidaan bersama pemaju tempatan.

“Kami menjalankan projek-projek TBB berskala besar, termasuk tahap gigawatt bagi menyokong pertumbuhan ekonomi, matlamat kemampanan serta bekalan tenaga yang terjamin,” katanya.

Beliau merujuk kepada projek pertama Abu Dhabi Future Energy Company PJSC (Masdar) yang diumumkan pada Disember lepas susulan pemeteraian PPA bagi membangunkan projek solar fotovoltan (PV) terapung berkapasiti 200 megawatt di Empangan Chereh di Pahang.

Projek itu akan dibangunkan oleh sebuah konsortium diterajui Masdar dengan rakan niaga Malaysia seperti Citaglobal Bhd dan Tiza Global Sdn Bhd dengan PPA yang dimeterai dengan Tenaga Nasional Bhd.

Kemudahan di Empangan Chereh itu juga dijangka menjadi projek solar terapung terbesar di Asia Tenggara apabila beroperasi kelak.

Mengulas langkah yang perlu dilaksanakan Malaysia untuk beralih ke arah penyelesaian RTC, Dr Ibraheem berkata cabaran utama bukan membabitkan teknologi, sebaliknya aspek kesiapsiagaan institusi, khususnya persepsi kalangan pengendali grid dan perancang tenaga.

“Kejayaan projek RTC di Emiriah Arab Bersatu misalnya, telah dipacu oleh pelarasan kukuh yang merentasi sepanjang ekosistem terbabit, termasuk penyelarasan yang akrab antara pihak pemaju, pemeroleh dan pihak berkepentingan utama.

“Penyelarasan peringkat itu, berkongsi visi yang sama dan komitmen adalah satu kemestian kerana projek-projek RTC ini tidak boleh dilaksanakan secara berasingan dan memerlukan usaha secara kolektif serta sokongan di sepanjang rantaian nilai tenaga,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan