EKONOMI

RINGGIT SECARA RELATIF STABIL BERBANDING MATA WANG RAKAN DAGANG UTAMA - BNM

26/07/2022 03:46 PM

KUALA LUMPUR, 26 Julai (Bernama) -- Ringgit secara relatif kekal stabil jika dibandingkan dengan mata wang rakan dagang utama Malaysia manakala kadar pertukaran efektif nominal negara mencatatkan penurunan kecil sebanyak 0.1 peratus, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Beliau menekankan bahawa indeks dolar meningkat sebanyak 11.5 peratus pada tahun ini, tertinggi dalam tempoh dua dekad, dan kebanyakan mata wang serantau, termasuk ringgit, mencatatkan penurunan nilai berbanding dolar.

“Pemulihan ekonomi Malaysia berjalan dengan baik, dan pada masa sama, bank akan terus menggunakan instrumen yang kami ada untuk memastikan pergerakan ringgit teratur dalam pengetatan dasar monetari yang agresif oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS),” katanya dalam ucaptama pada Persidangan Antarabangsa mengenai Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan (IFCTF) 2022 di sini hari ini.

Beliau berkata penting bagi Malaysia membina daya tahannya terhadap krisis masa depan untuk memaksimumkan potensi penuh negara.

“Kita perlu menangani kelemahan jangka panjang dan mengukuhkan daya tahan kita terhadap kejutan masa depan, selain menarik pelaburan berkualiti, meningkatkan kerumitan ekonomi dan mewujudkan pekerjaan yang berkualiti untuk Malaysia,” katanya.

Mengenai jenayah kewangan dan pembiayaan keganasan, Nor Shamsiah berkata jenayah kewangan yang dilaporkan semasa pandemik meningkat dengan ketara berikutan penjenayah mengeksploitasi keadaan yang wujud daripada berkaitan kemelesetan ekonomi.

“Jenayah kewangan mempunyai impak langsung dan penting terhadap prospek ekonomi kita dan kita kini berada di sempadan pematuhan baharu. Perjuangan menentang jenayah kewangan merupakan perjuangan dalam pelbagai bidang.

“Kejayaan kita memerlukan semua pihak, sektor swasta, pengawal selia, agensi penguatkuasaan undang-undang dan badan kerajaan lain serta pengguna, untuk menjalankan peranan mereka dan menyesuaikan diri dengan ancaman baharu ini, mentransformasikan diri mereka untuk menangani cabaran ini dan bekerjasama untuk melindungi integriti sistem kewangan negara kita,” katanya.

IFCTF 2022 selama dua hari memberi tumpuan kepada peranan penting sektor kewangan dalam membentuk semula langkah-langkah pertahanan dan mitigasinya dalam memerangi jenayah kewangan dan pembiayaan keganasan, terutamanya dalam era COVID-19, apabila kebergantungan kepada teknologi kewangan meningkat sejajar dengan kemunculan jenayah digital dan alam sekitar baharu.

Persidangan itu dianjurkan oleh Asian Institute of Chartered Bankers (AICB) dan Compliance Officers’ Networking Group AICB, disokong oleh BNM, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan.

Bertemakan “The New Frontier of Compliance: Adapt, Transform, Collaborate”, persidangan itu menghimpunkan lebih 50 pemimpin kewangan global dan pakar industri dari seluruh Eropah, AS dan Asia Pasifik.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan