EKONOMI

Firma penyelidikan kekalkan unjuran pendapatan Alliance Bank

22/07/2022 04:04 PM

KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Beberapa firma penyelidikan mengekalkan unjuran pendapatan mereka untuk Alliance Bank Malaysia Bhd (Alliance Bank) untuk tahun kewangan 2023 dan 2024 walaupun pengembangan sudah dirancang untuk perniagaan perbankan mampan (SBB).

Alliance Bank semalam semasa taklimat kemampanan keduanya mengumumkan sasaran peruntukan tahun kewangan 2025 yang dikemas kini sebanyak RM10 bilion, ia adlah dua kali ganda daripada RM5 bilion yang diunjurkan sebelum ini.

CGS-CIMB Research berkata anggaran terbaharu itu tidak akan memberi sebarang kesan material ke atas margin faedah bersih (NIM) Alliance Bank dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang.

SBB baharu itu termasuk pinjaman perniagaan mampan sebanyak RM6 bilion, pelaburan perbendaharaan RM2.3 bilion, perkhidmatan pasaran modal RM800 juta dan produk amanah saham serta gadai janji alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) RM900 juta.

“Kami berpendapat sebahagian besarnya boleh dicapai memandangkan pengembangan SBB dalam tempoh satu hingga dua tahun lepas.

''Bagaimanapun, kami tidak menjangka ia akan meningkatkan pertumbuhan keseluruhan pinjamannya kepada kadar dua digit kerana pertumbuhan dalam SBB akan diimbangi sebahagiannya oleh peningkatan yang tidak memberangsangkan (atau malah penguncupan) pinjaman yang diberikan kepada sektor yang mempunyai risiko ESG yang tinggi, '' kata CGS-CIMB dalam nota penyelidikan hari ini.

Sehubungan itu, ia mengekalkan unjuran pendapatan sesaham tahun kewangan 2022-2024 dan harga sasaran sebanyak RM3.45 untuk Alliance Bank.

Kenanga Research turut mengekalkan unjuran bagi tahun kewangan 2023-2024. Harga sasaran juga kekal pada RM4.00 sesaham.

Ia mengunjurkan pendapatan faedah bersih sebanyak RM1.67 bilion dan RM1.68 bilion masing-masing untuk tahun kewangan 2023 dan 2024.

“Kami yakin terhadap usaha kumpulan itu untuk meningkatkan kedudukan ESG terutamanya dalam pasaran sasaran utama perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” kata Kenanga Research.

Hong Leong Investment Bank (HLIB) turut memilih mengekalkan jangkaannya, ia menjangkakan pendapatan faedah bersih sebanyak RM1.15 bilion dan RM1.17 bilion untuk tahun kewangan 2023 dan 2024 dan unjuran bagi tahun kewangan 2025 sebanyak RM1.2 bilion.

“Pada tahun kewangan 2022, Alliance Bank mencapai semua matlamat kemampanan. Oleh itu, kami positif terhadap inisiatif kemampanannya dan kami menganggap bahawa ia akan mengorak langkah selanjutnya dalam mencatatkan gred yang lebih baik dalam semakan perbankan ESG kami yang seterusnya,'' katanya.

HLIB juga mengekalkan harga sasarannya pada RM3.85.

MIDF Research membuat perubahan pada unjuran pendapatan bank tersebut untuk tahun kewangan 2023, 2024 dan 2025 meningkat sebanyak 1.0 peratus setiap satu dengan mengambil kira tiga kenaikan 25 mata asas dalam kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) tahun ini dan dua kenaikan untuk tahun hadapan (sebelum ini adalah dua kenaikan pada 2022 dan tiga kenaikan pada 2023).

"Kami juga meningkatkan jangkaan kos kredit dan unjuran pertumbuhan pinjaman yang pada mulanya terlalu konservatif," katanya.

MIDF Research berkata walaupun kemas kini SBB terbaharu itu tidak dijangka mengubah pendapatan jangka pendek dalam sebarang material, ia adalah positif kepada usaha Alliance Bank dalam mewujudkan dirinya sebagai Pusat Kepimpinan Pemikiran untuk isu ESG PKS.

“Selain rangsangan ketara kepada pengiktirafan jenama, ia merupakan cara yang menarik untuk meluaskan jangkauan bukan sahaja kepada perusahaan sedia ada,tetapi juga kepada pelanggan masa depan, Skop tumpuannya yang lebih kecil membolehkannya memperoleh pandangan dan pengkhususan yang lebih mendalam berbanding pendekatan yang lebih luas terhadap ESG," katanya.

-- BERNAMA  


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan