JENAYAH & MAHKAMAH

Jabatan Perikanan banteras penggunaan bubu naga

19/07/2022 10:27 PM

LABUAN, 19 Julai (Bernama) -- Jabatan Perikanan kini dalam usaha membanteras penggunaan perangkap ikan haram yang semakin berleluasa, termasuk bubu naga, oleh nelayan tempatan di beberapa perairan di Semenanjung.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Perikanan Mohd Mohtar Mahamud berkata perangkap ikan itu dijual di kedai beli-belah dalam talian menerusi Shopee.

“Penggunaan bubu naga yang menyalahi undang-undang berleluasa di Semenanjung dan kami tidak pasti sama ada perangkap ikan itu turut digunakan oleh nelayan di Sabah, Labuan dan Sarawak. 

“Ia berpotensi memusnahkan ekosistem dan sumber marin memandangkan bubu naga mampu memerangkap semua spesies dan saiz ikan termasuk ikan yang belum cukup matang,” katanya kepada pemberita selepas menerima tiga unit bot patrol di jeti perikanan Labuan di sini hari ini.

Mohd Mohtar berkata kaedah penangkapan ikan yang tidak terkawal menggunakan bubu naga tidak memerlukan banyak usaha yakni nelayan hanya perlu meletakkannya di pinggir laut dan mengutipnya semula pada waktu pagi.

Beliau berkata bubu naga banyak digunakan oleh nelayan negara jiran di kawasan utara Semenanjung.

“Kami harap agensi penguatkuasaan seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan polis marin akan terus membantu kami menguat kuasa undang-undang perikanan di bawah Akta Perikanan 1985 untuk menghentikan kaedah penangkapan ikan secara haram ini,” katanya.

Katanya mereka yang didapati menggunakan bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan dan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

“Kami harap nelayan tempatan tidak akan terlibat dalam penggunaan kaedah haram ini atau mereka terpaksa menanggung akibatnya,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan