BATU KAWAN, 14 April (Bernama) — Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menggesa lebih banyak syarikat, khususnya syarikat multinasional (MNC), agar melabur dalam kemudahan sukan sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan kesejahteraan pekerja serta mewujudkan persekitaran tempat kerja yang lebih inklusif dan mampan.
Timbalan Menterinya, Sim Tze Tzin berkata inisiatif seperti pembinaan kompleks sukan kini dilihat sebagai satu keperluan penting dalam menyokong kesejahteraan pekerja, meningkatkan produktiviti dan membantu syarikat menarik bakat dalam pasaran buruh yang semakin kompetitif.
“Pelaburan hari ini tidak lagi tertumpu kepada pertumbuhan perniagaan semata-mata, tetapi turut merangkumi kesejahteraan pekerja, pembangunan bakat dan kelestarian jangka panjang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kompleks Sukan Dexcom di sini hari ini.
Majlis itu turut dihadiri Naib Presiden Operasi Dexcom Malaysia Sayron Ruiz dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Penang Datuk Loo Lee Lian.
Mengulas lanjut Sim berkata walaupun Malaysia mempunyai banyak pembangunan industri, namun kemudahan sukan seperti padang bola sepak, gelanggang bola keranjang dan futsal masih belum mencukupi, justeru syarikat perlu memberi perhatian terhadap aspek kesihatan pekerja kerana ia memberi kesan langsung kepada produktiviti.
Katanya, kemudahan sedemikian juga semakin penting dalam memenuhi jangkaan tenaga kerja masa kini, khususnya golongan Gen Z yang lebih menitikberatkan keseimbangan kerja dan kehidupan serta gaya hidup sihat, malah menjadi antara faktor pertimbangan pencari kerja sebelum menyertai sesebuah syarikat.
“Keperluan menyediakan kemudahan sukan ini menjadi semakin penting memandangkan syarikat kini berdepan persaingan mendapatkan tenaga kerja dalam kelompok bakat yang semakin terhad,” katanya.
Beliau berkata selain meningkatkan kesihatan fizikal, kemudahan sukan turut berperanan sebagai platform untuk memperkukuh kerja berpasukan, kerjasama dan hubungan dalam kalangan pekerja, sekali gus menyumbang kepada peningkatan produktiviti serta kesejahteraan organisasi.
Sementara itu, beliau berkata Dexcom merupakan contoh syarikat yang mengimbangi pertumbuhan perniagaan dengan kebajikan pekerja, selain menyumbang kepada pembangunan ekosistem industri bernilai tinggi negara khususnya dalam teknologi pemantauan glukosa berterusan (CGM).
Katanya, MITI akan terus menyokong pelaburan yang bukan sahaja memacu pertumbuhan ekonomi, malah menitikberatkan pembangunan bakat, kesejahteraan pekerja dan kelestarian jangka panjang.
“Diharapkan kemudahan ini dimanfaatkan sepenuhnya dan menjadi platform untuk memperkukuh kerjasama, semangat berpasukan serta budaya kerja yang sihat,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial