EKONOMI

Alliance Bank terima kelulusan pindah perniagaan pembrokeran kepada Phillip Capital

01/07/2022 07:44 PM

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Anak syarikat Alliance Bank Malaysia Bhd Alliance Investment Bank Bhd (AIBB), menerima Perintah Peletakhakan daripada Mahkamah Tinggi Malaya untuk memindahkan perniagaan pembrokeran sahamnya kepada Phillip Capital Sdn Bhd berkuat kuasa 30 Julai 2022.

Phillip Capital baru-baru ini mengumumkan pertukaran namanya daripada Phillip Futures Sdn Bhd sejajar dengan pemindahan ini untuk mencerminkan pengembangan perniagaan syarikat untuk memasukkan saham dan dana dagangan bursa dalam rangkaian penawaran produknya melangkaui derivatif seperti niaga hadapan, opsyen dan kontrak untuk perbezaan.

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Alliance Bank Joel Kornreich berkata pelanggan diberi jaminan dengan perkhidmatan yang lancar dan tidak terganggu daripada peniaga dan remisier sedia ada mereka semasa pemindahan.

"Kami kekal fokus untuk melayani keperluan perbankan peribadi dan perniagaan pemilik perniagaan, dan seterusnya, orang yang penting bagi mereka - keluarga, pekerja, rakan kongsi perniagaan dan pelanggan mereka," katanya dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Bank itu sebelum ini telah menyelesaikan pemindahan perniagaan pasaran modal AIBB kepada anak syarikat Islamnya Alliance Islamic Bank Bhd, yang menjadikannya salah satu daripada beberapa bank Islam tempatan yang mempunyai keupayaan dalaman untuk memberi perkhidmatan kepada pelanggan perniagaan dengan penyelesaian korporat dan pasaran modal yang komprehensif.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan