SUKAN

Laporan Perlawanan: Tradisi Kewartawanan Sukan Yang Terus Berevolusi

18/06/2026 08:26 PM

Oleh Amiril Muttaqien Meketar dan Muhammad Zulkarnain Mohd Azman

KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- Suatu ketika dahulu, laporan perlawanan merupakan nadi kewartawanan sukan.

Bagi peminat yang tidak berpeluang menyaksikan aksi secara langsung, akhbar keesokan harinya menjadi rujukan utama untuk mengetahui apa yang berlaku di stadium atau venue terlibat.

Setiap mata dan jaringan, peluang yang terlepas serta detik dramatik dirakam menerusi tulisan wartawan yang menjadi mata dan telinga pembaca.

Tradisi laporan perlawanan telah berakar umbi sejak berabad lamanya dengan Boston Gazette menjadi media terawal melakukannya apabila menyiarkan kisah pertarungan tinju antara John Faulcomer dan Bob Russel pada 1773.

Namun dalam era telefon pintar, media sosial dan siaran langsung yang boleh diakses di hujung jari, timbul persoalan adakah masih relevan laporan perlawanan yang panjang apabila keputusan dan sorotan aksi sudah diketahui dalam beberapa saat selepas tamatnya sesuatu perlawanan.

Wartawan sukan New Straits Times, Farah Azharie berpendapat laporan perlawanan tetap relevan kerana masih mempunyai kelompok pembaca tersendiri.

Walau bagaimanapun, beliau berkata, cara penyampaian laporan perlawanan itu sebenarnya perlu diubah sejajar dengan era digital ketika ini.

“Saya pernah berdebat dengan seorang rakan yang masih gemar membaca laporan perlawanan panjang. Dia selalu memberikan contoh portal seperti Daily Mail dan The Guardian (United Kingdom) yang masih menyiarkan laporan perlawanan dalam format sebegitu,” katanya kepada Bernama.

Katanya, persoalannya bukan sama ada laporan perlawanan masih relevan atau tidak, tetapi bagaimana kandungan itu dipersembahkan kepada audiens moden.

“Mungkin kerana cara ia dipersembahkan sangat menarik. Dalam laman web itu ada gambar, grafik dan pelbagai elemen lain yang membantu penceritaan.

“Ia tidak lagi sekadar deretan perkataan yang panjang dengan satu gambar di bahagian atas seperti dahulu,” katanya.

Turut berkongsi pandangan sama adalah wartawan veteran, Rizal Hashim yang berpendapat laporan perlawanan masih relevan ketika ini.

“Laporan perlawanan masih relevan, cuma elemen yang harus ada adalah senarai kesebelasan permulaan, pemain gantian dan maklumat gol kerana hampir semua info dalam Internet tidak menyediakan rumusan muktamad untuk rujukan semua pihak kerana maklumat yang sering dipaparkan harus diproses untuk siaran,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dr Ima Liana Esa berkata laporan perlawanan hari ini perlu berkembang melangkaui teks semata-mata.

Beliau yang juga bekas wartawan penyiaran sukan TV3 berkata perkembangan teknologi digital membolehkan sesuatu cerita diperkaya melalui grafik, video, visualisasi data, petikan media sosial dan pelbagai elemen multimedia yang membantu pembaca memahami sesuatu perlawanan dengan lebih baik.

Ima Liana berkata kemunculan perkembangan terkini atau live updates, media sosial dan video sorotan tidak mengurangkan kepentingan laporan perlawanan, sebaliknya mengubah cara audiens menggunakannya.

Katanya, setiap format mempunyai fungsi tersendiri dalam memenuhi keperluan pengguna yang berubah mengikut masa.

“Sebelum perlawanan, audiens mencari ramalan dan jangkaan. Ketika perlawanan berlangsung, mereka mahukan keputusan terkini, statistik dan reaksi segera. 

“Selepas tamat perlawanan pula, mereka mahu memahami faktor yang menentukan kemenangan atau kekalahan serta implikasinya. Dalam konteks kewartawanan digital, kita tidak boleh melihat format-format ini sebagai saling bersaing, sebaliknya, ia sebahagian daripada perjalanan audiens yang berlaku pada masa dan platform yang berbeza,” katanya.

Beliau berkata cabaran terbesar organisasi media masa kini bukan memilih satu format terbaik, tetapi memastikan kandungan yang tepat disampaikan kepada audiens yang tepat pada waktu yang tepat.

Wartawan juga, katanya, perlu mengenal pasti konflik, watak, momentum dan kepentingan yang wujud di sebalik sesuatu keputusan, bukannya sekadar melaporkan angka di papan skor.

“Laporan perlawanan yang baik bukan sekadar menjawab persoalan siapa menang. Sebaliknya, ia perlu menjawab mengapa kemenangan itu penting dan apa maknanya kepada pihak yang terlibat,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan