AM

98 struktur rangkaian 5G disediakan di Perak hingga Oktober

28/06/2022 07:24 PM

IPOH, 28 Jun (Bernama) -- Sebanyak 98 lagi struktur rangkaian 5G akan disediakan di Wilayah Greater Ipoh merangkumi Majlis Perbandaran Kuala Kangsar dan Kampar serta Majlis Daerah Batu Gajah hingga Oktober ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri Khairul Shahril Mohamed berkata capaian Internet 5G dijangka meliputi seluruh negeri dengan Ipoh merupakan bandar pertama di wilayah utara mempunyai capaian akses dengan kelajuan satu gigabit (GB) per saat.

“Sejak dilancarkan pada April tahun lepas, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah memulakan 12 projek termasuk sebuah projek utama Bandar Pintar Ipoh iaitu Ipoh Intergrated Command Centre (IIOC) yang turut digerakkan bersama Telekom Malaysia (TM).

“Projek IIOC ini merupakan nadi kepada Pelan Tindakan Bandar Pintar Ipoh yang akan menjadi sebuah pusat kawalan pintar yang mempunyai keupayaan memproses data raya menggunakan perisian kecerdasan buatan (AI) dan Internet benda (IoT) sekali gus melicinkan urus tadbir perbandaran MBI kepada urus tadbir yang berintensifkan teknologi tinggi, sensor dan peranti,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Dalam pada itu, Khairul Shahril berkata MBI bersama TM One telah melaksanakan tempoh percubaan bagi Sistem Lampu Isyarat Pintar di empat persimpangan sepanjang Jalan Sultan Idris Shah sejak November 2021. 

“Ia melibatkan Persimpangan Jalan Sultan Idris Shah dan Jalan Laksamana, Persimpangan Jalan Sultan Idris Shah dan Jalan Datuk Onn Jaafar, Persimpangan Jalan Sultan Idris Shah dan Jalan Raja Musa Aziz serta Persimpangan Jalan Sultan Idris Shah dan Jalan Raja Ekram.

“Sistem ini dilengkapi keupayaan AI, kamera AI berdefinisi tinggi dan analitik video yang membolehkan analisis trafik secara pintar untuk kelancaran trafik yang optimum,” katanya.

Beliau berkata sistem berkenaan akan membantu melancarkan aliran trafik sehingga 51 peratus terutama pada waktu puncak sekali gus membantu menjimatkan masa dan kos pengguna jalan raya serta mengurangkan kadar pengeluaran karbon sebanyak 7,500 kilogram sebulan selaras hasrat MBI menjadikan Ipoh bandar raya rendah karbon menjelang 2030.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan