AM

KOA Bering Baru Nikmati Perkhidmatan Komunikasi Lebih Berkualiti - MCMC

26/06/2025 07:28 PM

KOTA BHARU, 26 Jun (Bernama) -- Penduduk Kampung Orang Asli (KOA) Bering Baru di Gua Musang  menikmati kemudahan perkhidmatan komunikasi yang lebih berkualiti susulan tindakan proaktif yang diambil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan antara tindakan tersebut adalah penyediaan perkhidmatan Internet secara kolektif menggunakan teknologi WiFi percuma. 

"Di bawah perkhidmatan ini, penduduk kampung boleh mengakses Internet secara percuma menerusi kemudahan Broadband Wireless Access (BWA) yang telah disediakan. 

"Setiap penduduk yang berdaftar layak menerima 5GB data percuma sebulan dan mereka juga boleh mendapatkan data tambahan melalui ejen terpilih yang telah dilantik," menurut kenyataan itu. 

Kampung Bering Baru merupakan salah satu daripada 18 lokasi penambahbaikan liputan KOA di daerah Gua Musang yang menikmati kemudahan BWA oleh MCMC di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Menurut kenyataan itu, sebagai penyelesaian jangka panjang pula, MCMC telah mengenal pasti lokasi untuk pembinaan menara baharu berhampiran dengan KOA Kampung Bering Baru dan memasukkan cadangan ini dalam perancangan pembangunan infrastruktur telekomunikasi di bawah Pelan JENDELA akan datang.

"Pihak MCMC akan terus memantau dan memastikan liputan komunikasi di kawasan ini berada dalam keadaan yang optimum demi keselesaan penduduk," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan