AM

Pelbagai program sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia untuk rakyat Perak

28/06/2022 01:53 PM

IPOH, 28 Jun (Bernama) -- Pelbagai program dan pengisian menarik akan dianjurkan untuk rakyat di Perak pada Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) yang dijadual berlangsung dari 1 hingga 3 Julai ini di Litar Datuk Sagor, Kampung Gajah di Pasir Salak.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata antara yang akan dianjurkan adalah Karnival Jualan Keluarga Malaysia, Karnival Kerjaya Jamin Kerja serta turut disediakan gerai jualan usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) bagi membantu mempromosi dan menjual produk yang dihasilkan mereka.

"Selain itu, jelajah AKM ini turut menganjurkan program berbasikal Fun Ride, pelbagai permainan tradisional dan sukan rakyat, kempen kesedaran mengenai pemuliharaan alam sekitar serta pertandingan sukan elektronik (e-sukan)," katanya dalam sesi temu bual bersama radio PerakFM hari ini.

Nolee Ashilin berkata program Kenduri Rakyat yang dijangka dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengembalikan tradisi lama iaitu masyarakat setempat akan bergotong-royong menyiapkan pelbagai hidangan khusus untuk pengunjung yang datang ke jelajah berkenaan.

"Dalam konteks Keluarga Malaysia, kita perlu membina semula semangat kebersamaan yang semakin lama semakin terhakis iaitu semangat gotong-royong yang akan menjadi tunjang untuk kita terapkan dalam Kenduri Rakyat,” katanya.

Nolee Ashilin berharap rakyat Perak bersedia mengikuti rapat dan mendapat manfaat sepenuhnya daripada program atau dasar-dasar yang telah diumumkan kerajaan yang akan dibawa dalam jelajah ini sekali gus meraih peluang-peluang yang ditawarkan bukan saja diri sendiri tetapi kemajuan masyarakat secara menyeluruh.

Jelajah AKM merupakan kesinambungan kepada penganjuran 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang diadakan di 14 lokasi di seluruh negara dengan pengisian program berbentuk perkhidmatan kepada rakyat bagi memastikan masyarakat di semua peringkat dapat memahami serta menghayati konsepnya dengan lebih jelas, yang menitikberatkan keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan