BERITA COVID–19   Kes COVID-19 meningkat, Itali perketat protokol kesihatan | Canberra hadapi gelombang baharu COVID-19 - Kementerian Kesihatan | Singapura lapor kematian pertama bawah umur 12 tahun akibat COVID-19 | Tiada SOP tambahan laksana ibadah korban tahun ini - MAIK | COVID: Kes baharu meningkat, kematian menurun minggu lalu - Noor Hisham | 
AM

MAIWP sedia tambah nilai bantuan 'Zero Hunger' kepada asnaf

23/06/2022 09:59 PM

KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sedia menambah jumlah bantuan program 'MAIWP Kasih Asnaf - Zero Hunger' kepada golongan asnaf di Wilayah Persekutuan bagi meringankan beban mereka.

Pengerusinya Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berkata pada masa ini program bantuan barangan keperluan bernilai RM150 sebulan yang memfokuskan pembelian barangan keperluan mendesak bagi membantu mengurangkan tekanan kadar inflasi isi rumah golongan rentan itu.

"Sekiranya terdapat keperluan mendesak, kami (WAIWP) sedia mengkaji semula bantuan dan menambah jumlah (nilai) bantuan untuk pastikan ada makanan untuk mereka," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran Pelan Strategik MAIWP 2021-2025 dan Manfaat Kewangan Asnaf di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.

Terdahulu, majlis pelancaran itu disempurnakan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah secara maya menerusi rakaman titah pelancaran, selain ia turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad.

Mohd Daud berkata MAIWP juga sudah menyediakan polisi  atau bekalan simpanan untuk tempoh enam bulan sebagai persedian membantu golongan asnaf sekiranya berlaku sesuatu bencana menjejaskan hidup golongan itu.

Mengulas mengenai Pelan Strategik MAIWP (PSM) 2021-2025 dan Manfaat Kewangan Asnaf, Mohd Daud berkata pelan itu dirangka bagi memperkasakan usaha melestarikan sistem penyampaian perkhidmatan dan pengurusan dana zakat kepada golongan memerlukan.

Beliau berkata pelan bertemakan 'Empowering & Enterprising' dengan enam teras strategik utama itu mendasari empat dokumen penting iaitu rangka tindakan Pembangunan Asnaf; Pendidikan; Pembangunan Hartanah dan Pendigitalan.

Antara inisiatif termasuk kerjasama strategik dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menerusi Simpan SSPN Prime dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) menerusi dana pelaburan Amanah Saham Bumiputera.

"Bagi Simpan SSPN Prime, bantuan RM5,000 seorang secara one off kepada 1,000 anak asnaf setahun (2022-2026) dengan peruntukan keseluruhan RM25 juta dan dalam tempoh sama PTPTN salurkan dana keseluruhan RM750,000.

"Apabila penerima skim ini berusia 18 tahun, dana RM20,000 bakal diterima daripada jumlah deposit dan dividen tahunan," katanya.

Sementara itu, menerusi dana pelaburan pula seramai 1,000 asnaf bakal menerima sumbangan RM4,000 dan manfaat ujuran pulangan dan dividen untuk tempoh matang selama lima tahun.

-- BERNAMA 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan