AM

Yayasan Juwita, KPT anjur KLGYS 2022

15/06/2022 03:05 PM

KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) -- Yayasan Juwita bersama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan menganjurkan Sidang Kemuncak Belia Global Kuala Lumpur (KLGYS) 2022 pada 20 Jun ini.

Pengarah KLGYS 2022 Nurul Ashiqin Shamsuri berkata sidang kemuncak itu adalah platform kepada golongan belia memperoleh cerapan dan kemahiran baharu melalui penglibatan pemimpin industri tempatan serta antarabangsa yang menyediakan mereka untuk pasaran kerja kompetitif.

Sidang kemuncak yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) akan dirasmikan oleh Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang sering menekankan keperluan merapatkan jurang antara kurikulum institusi pengajian tinggi (IPT) Malaysia dengan tuntutan industri untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan di Malaysia.

“Datuk Seri Dr Noraini dalam setiap ucapannya di luar negara juga telah menyokong pelbagai usaha pengantarabangsaan KPT seperti program luar serta menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) denagn rakan antarabangsa bagi membolehkan program mobiliti pelajar dan kakitangan.

“Dengan tumpuan untuk menjadikan Malaysia sebagai hub pendidikan tinggi antarabangsa, inisiatif ini bertujuan membantu menarik 25,000 pelajar antarabangsa ke Malaysia menjelang 2025,” katanya dalam kenyataan.

KLGYS terdiri daripada tujuh sesi panel yang akan membincangkan topik merangkumi kesihatan mental dan perniagaan mampan kepada aset digital.

Selaras visi KPT, sidang kemuncak itu akan membariskan ahli panel terkenal yang menjadi pelopor dalam bidang masing-masing dari Belgium, Hong Kong, India, Indonesia, Malaysia dan Zambia.

“KLGYS tahun ini akan bersifat hibrid dan dijangka menarik kehadiran fizikal lebih 300 pelajar IPT awam dan swasta serta belia yang berminat dari pelbagai lapisan masyarakat di seluruh Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Persidangan itu adalah percuma dan mereka yang berminat boleh mendaftar  di www.projectfearless.world.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan