IPOH, 1 April (Bernama) -- Sebanyak 1,500 individu terdiri daripada pensyarah dan pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) Ipoh menyertai Program Belia Prihatin Negara MADANI yang bertujuan memperkukuh jati diri serta literasi digital golongan belia dalam mendepani cabaran era semasa.
Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Pembangunan Profesional) Datuk Amzan Abd Malek berkata program berkenaan menjadi platform penting dalam membina keupayaan belia, khususnya bakal pendidik agar lebih bersedia menghadapi landskap digital yang semakin mencabar.
“Program ini memberikan penekanan kepada pembentukan pemikiran kritis serta daya tahan mental dalam kalangan peserta, selaras dengan keperluan pendidikan masa kini yang menuntut keseimbangan antara kecemerlangan akademik dengan sahsiah.
“Inisiatif yang digerakkan turut menggabungkan elemen kenegaraan, literasi digital dan penghayatan budaya sebagai pendekatan holistik dalam pembangunan belia, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan program itu di Dewan Sri Tanjung, IPG Kampus Ipoh, di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Datuk Ismail Yusop, Pengarah Pendidikan Perak Zulkafli Mohamed Mokhtar dan Pengarah IPG Ipoh Dr Hamidah Samsudin.
Beliau berkata program berkenaan memberikan fokus kepada dua cabaran utama semasa, iaitu ancaman keselamatan siber serta krisis jati diri dalam kalangan belia.
“Pelbagai pengisian telah dirangka bagi meningkatkan kesedaran dan kefahaman peserta termasuk Kempen Internet Selamat dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).
“Turut diadakan demonstrasi Seni Silat Cekak Perak sebagai usaha memperkukuh identiti budaya dan semangat cintakan negara selain sesi dialog awam kenegaraan yang menampilkan kepimpinan J-KOM dalam dialog interaktif bersama-sama peserta,” katanya.
Selain itu, Amzan berkata penganjuran program itu turut melibatkan kerjasama pelbagai rakan strategik merangkumi sektor pendidikan, agensi kerajaan, komuniti dan pertubuhan bukan kerajaan dalam usaha memperkasakan agenda pembangunan belia negara.
Sementara itu, Ismail dalam ucapannya berkata golongan belia merupakan ejen perubahan utama dalam menjayakan aspirasi Malaysia MADANI yang menjadi tunjang dalam membentuk masyarakat berdaya saing, berintegriti serta berfikiran kritis.
Bagaimanapun, beliau mengakui golongan belia kini sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam era pascanormal yang penuh dengan ketidaktentuan.
“Ketidaktentuan ini sedikit sebanyak boleh mengakibatkan semangat patriotisme kita semakin lama kian terhakis dan akan bertambah buruk dengan ancaman maklumat palsu daripada media sosial, justeru satu pendekatan baharu perlu dilakukan dalam menjalani kehidupan seharian,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial