SUKAN

Razie Rahim terus mengganas, bantu Speedy Tigers ‘baham’ Bangladesh

26/05/2022 09:35 PM

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Tonggak pertahanan Muhammad Razie Abd Rahim terus mencuri tumpuan apabila meledak hatrik kedua pada Kejohanan Piala Asia 2022 di Jakarta, Indonesia, sekali gus membantu skuad hoki lelaki negara membelasah Bangladesh, 8-1, hari ini.

Kemenangan itu menyaksikan Malaysia, yang telah menempah slot ke kelompok ‘Super 4’ Piala Asia 2022, mengekalkan prestasi cemerlang dengan mengumpul sembilan mata bagi mengungguli saingan Kumpulan B.

Pada aksi terakhir Kumpulan B yang berlangsung di Stadium Hoki Gelora Bung Karno itu,  ‘Speedy Tigers’ hanya memerlukan masa empat minit untuk membuka tirai jaringan menerusi penalti strok oleh Muhammad Razie, sebelum pemain itu menggandakan jaringan dengan pukulan sudut penalti pada minit ke-14.

Tersentak dengan jaringan itu, pasukan lawan berusaha meningkatkan tempo permainan dan berjaya merapatkan jurang menerusi jaringan pukulan sudut penalti oleh Ashraful Islam pada minit ke-21.

Bagaimanapun, selang tiga minit kemudian Malaysia kembali melebarkan kedudukan dengan jaringan padang oleh penyerang berpengalaman Faizal Saari, manakala Muhammad Razie melengkapkan hatrik apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-30, yang juga gol kelapan peribadi dalam kejohanan itu.

Malaysia mengukuhkan kedudukan apabila Faizal mencipta gol kedua peribadi menerusi pukulan sudut penalti seminit selepas babak kedua bersambung, disusuli satu lagi jaringan sama oleh Muhammad Najmi Farizal Jazlan pada minit ke-41.

Faizal terus membuktikan sentuhan berbisanya apabila turut mencatat hatrik dengan jaringan padang pada minit ke-46 untuk gol ketujuh Malaysia.

Skuad kendalian A. Arul Selvaraj itu, langsung tidak menunjukkan belas kasihan kepada Bangladesh apabila memperoleh jaringan kelapan menerusi Mohamad Ashran Hamsani pada minit terakhir perlawanan.

Malaysia memulakan kempen Piala Asia 2022 dengan membenam cabaran Oman 7-0 pada Isnin lepas, diikuti kemenangan tipis 5-4 ke atas Korea Selatan sehari kemudian.

Hanya dua pasukan teratas daripada dua kumpulan dalam Piala Asia 2022, layak beraksi dalam saingan ‘Super 4’ bermula Sabtu ini.

Sekiranya India, yang kini berada di kedudukan ketiga dalam Kumpulan A selepas dua perlawanan, turut layak ke kelompok 'Super 4', ini bermakna tiga pasukan lain layak secara automatik ke Piala Dunia 2023.

Ini kerana, India telah pun layak apabila menjadi tuan rumah bagi kejohanan berprestij itu.

Sementara itu, Arul Selvaraj berpuas hati apabila pasukannya dapat menyempurnakan empat jaringan daripada tujuh pukulan sudut penalti diberikan kepada Malaysia dalam perlawanan menentang Bangladesh.

“Ia tanda yang bagus apabila kita dapat menjaringkan gol pukulan sudut penalti daripada tiga pemain berbeza, kita perlu terus mencipta gol dan bekerja keras dalam ‘Super 4’ nanti.

“Permainan dalam Super 4’ sudah tentu berbeza kerana setiap pasukan yang layak pasti mempunyai matlamat untuk sampai ke final bagi mencerahkan peluang ke Piala Dunia tahun depan,” katanya.

Beliau pada masa sama optimis, pencapaian mengekalkan rekod bersih setakat ini dapat memberi suntikan motivasi kepada pasukannya untuk memberi tentangan sengit dalam saingan ‘Super 4’.

Dalam pada itu, Faizal percaya ‘Speedy Tigers’ berpeluang menjuarai Piala Asia susulan prestasi cemerlang dilakar mereka dalam peringkat kumpulan.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan