KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) — Keuntungan bersih MISC Bhd menurun kepada RM376.40 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2022 berbanding RM429.80 juta yang direkodkan dalam tahun sebelum ini.
Bagaimanapun, pendapatan adalah 12.9 peratus lebih tinggi pada RM2.86 bilion daripada RM2.54 selepas disumbangkan oleh segmen aset dan penyelesaian gas, petroleum dan penghantaran barangan, perniagaan luar pesisir serta kejuruteraan marin dan berat.
"Hasil berjumlah RM757.7 juta untuk aset dan penyelesaian gas adalah 10.5 peratus lebih tinggi berbanding perolehan dalam suku yang ditinjau sebelumnya iaitu sebanyak RM685.7 juta, ia dipacu daripada jumlah hari yang lebih banyak dalam pajakan kapal pengangkut etana yang besar sejak daripada suku yang sama yang ditinjau sebelum ini,” katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Sementara itu, pendapatan petroleum dan produk perkapalan sebanyak RM887.3 juta adalah RM92.2 juta lebih tinggi berbanding RM795.1 juta sebelum ini yang dipacu oleh peningkatan kadar pengangkutan dalam segmen kapal tangki pertengahan pada suku semasa.
Selain Itu, perniagaan pesisir pantai turut mencatatkan pendapatan yang lebih baik disebabkan pengiktirafan hasil yang lebih tinggi daripada pengubahsuaian unit terapung, pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan.
Sebaliknya, perolehan kejuruteraan marin dan berat adalah disebabkan oleh pertambahan aktiviti membabitkan projek kejuruteraan berat yang berterusan termasuk peningkatan aktiviti limbungan kering di subsegmen marin.
Syarikat itu ketika mengulas mengenai prospek menjelaskan ia akan terus memberi tumpuan kepada pembaharuan armada kapal tangki mesra alamnya dan membina pendapatan jangka panjang yang terjamin melalui perniagaan kapal tangki ulang-alik untuk segmen petroleum dan penghantaran barangan.
"Unjuran untuk sektor minyak dan gas huluan kekal positif berikutan kenaikan harga serta permintaan minyak global di tengah-tengah pemulhan yang beransur -ansur ke tahap aktiviti yang lebih normal," katanya.
Segmen kejuruteraan marin dan berat tetap berhati-hati dengan unjuran dalam subsegmen kejuruteraan berat memandangkan tempoh perbelanjaan modal kebanyakan syarikat minyak besar masih mencerminkan ketidakpastian disamping dengan harga keluli yang agak tinggi, manakala subsegmen marin dijangka pulih pada 2022
"Dengan pembukaan sempadan antarabangsa dan pemansuhan keperluan kuarantin wajib, kemasukan pakar teknikal tidak lagi ketat.
"Ini akan meningkatkan potensi perolehan projek-projek daripada pelanggan luar negara," katanya.
— BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial