EKONOMI

Pemulihan Malaysia terus berdaya tahan, Indeks Pelopor bulan Mac capai 111.3 mata - Perangkaan

25/05/2022 02:08 PM

KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Pemulihan ekonomi Malaysia akan terus berdaya tahan dengan paras Indeks Pelopor (IP) menunjukkan arah aliran menaik, mencapai 111.3 mata pada bulan Mac 2022 berbanding 110.9 mata pada Februari 2022, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.

Indeks Pelopor merupakan alat yang digunakan untuk menjangkakan kenaikan dan penurunan ekonomi dalam purata empat hingga enam bulan ke hadapan.

Dalam satu kenyataan mengenai Penunjuk Ekonomi Malaysia: Indeks Pelopor, Serentak dan Susulan bagi Mac 2022 di sini, DOSM berkata peningkatan dalam Indeks Pelopor disokong terutamanya oleh bilangan unit kediaman yang diluluskan pembinaan (0.3 peratus) dan bilangan syarikat baru didaftar (0.3 peratus).

 Namun begitu, IP tahun ke tahun menurun kepada negatif 1.5 peratus pada Mac 2022 terutamanya disebabkan oleh kejatuhan dalam import benar logam asas berharga dan logam bukan ferus lain,” kata Ketua Perangkawan  Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin. 

Beliau menambah analisis lanjut daripada perspektif hala tuju menunjukkan bahawa ekonomi jangka pendek dijangka kekal berada di landasan pemulihan meskipun, kenaikan harga komoditi berikutan konflik global yang berlarutan menyebabkan kemerosotan lanjut dalam kuasa beli untuk mencapai pemulihan yang lancar dan mampan.

DOSM turut menyatakan prestasi Indeks Serentak (IS) meningkat sebanyak 3.1 peratus kepada 117.9 mata pada Mac 2022 berbanding 114.3 mata pada Mac 2021.

Pertumbuhan ini didorong oleh peningkatan signifikan dalam kapasiti penggunaan di sektor pembuatan (0.7 peratus) dan jumlah guna tenaga di sektor pembuatan (0.4 peratus).

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan