AM

Tanah TOL untuk petani : Kerajaan N.Sembilan tiada masalah luluskannya

24/05/2022 08:57 PM

SEREMBAN, 24 Mei (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sembilan tidak mempunyai masalah berhubung penyediaan tanah Lesen Kependudukan Sementara (TOL) untuk tanaman kontan, kerana selalu meluluskannya untuk petani kecil, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.

“Kita setiap minggu luluskan tanah TOL itu..pengusaha kecil kita bantu dengan tanah itu, kita tengok kalau sesuai kita luluskan seperti di Jempol kita luluskan 100 ekar tanah kolam terbiar kepada petani, untuk diusahakan semula.

“Malah, baru-baru ini kita juga turut mengadakan perjanjian dengan Selangor untuk jalankan projek tanaman jagung bijirin di Gemas dan Kuala Langat Selatan di tanah lebih 400 ekar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah Loji Rawatan Air (LRA) Ngoi-Ngoi Fasa 2 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam yang meminta kerjasama kerajaan negeri, agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menyediakan tanah TOL untuk penanaman jagung bagi jangka masa panjang sebagai alternatif kepada makanan ayam.

Dalam pada itu, beliau berkata agensi berkaitan terutama Jabatan Pertanian perlu sentiasa proaktif dan turun padang bagi menyelami permasalahan dan isu dialami petan,i sekali gus membantu memperkasakan sektor pertanian dalam negara.

“Bukan masalah tanah semata-mata, tetapi perlu lihat isu musuh tanaman, harga baja dan pagar yang mahal...itu juga penting dan perlu dilihat, baru selesai masalah bekalan makanan di negara kita,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata projek pembangunan LRA Ngoi-Ngoi Fasa 2 di sini dengan kos RM228 juta dan dijangka siap 2024 itu bakal menampung keperluan pembangunan Malaysia Vision Valley (MVV) meliputi kawasan seluas 378,071 ekar (153,000 hektar).

Aminuddin berkata LRA berkenaan merupakan nadi utama memastikan permintaan bekalan air bersih dan terawat dipenuhi, selain menambah kapasiti bekalan air sehingga 150 juta liter sehari di Seremban, Nilai dan Sendayan yang semakin pesat membangun.

Jelasnya projek berkenaan juga termasuk dalam agenda pembangunan bekalan air baharu di Negeri Sembilan melalui pembiayaan Pengurusan Aset Air Berhad berjumlah RM347.25 juta yang diluluskan Kerajaan Persekutuan bagi tempoh 2021 sehingga 2023.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan