EKONOMI

Unit tidak langsung KNM jual 100 peratus Borsig pada €220.8 juta

24/05/2022 02:00 PM

KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) -- KNM Group Bhd (KNM) mengumumkan anak syarikat tidak langsung milik penuhnya, Deutsche KNM GmbH (DKNM) memeterai perjanjian penjualan, pembelian dan pemindahan (SPA) bersyarat dengan GPR Siebzigste Verwaltungsgesellschaft mbH (GSV) untuk cadangan penjualan Borsig GmbH (Borsig) .

SPA yang ditandatangani pada 23 Mei, 2022 itu melibatkan penjualan 15 saham yang mewakili 100 peratus kepentingan ekuiti dalam Borsig oleh DKNM kepada GSV pada harga €220.8 juta (€1=RM4.68).

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, KNM menjelaskan penjualan yang dicadangkan itu sedang dilaksanakan untuk memanfaatkan nilai anak-anak syarikat KNM dan menyediakan fleksibiliti aliran tunai yang lebih ketara kepada syarikat.

Langkah itu juga memudahkan strategi perniagaan kumpulan untuk mengembangkan perniagaan tenaga boleh baharu dan menambah baik kedudukan kewangan, katanya.

“Berdasarkan prestasi kewangan Borsig Group dan KNM Group, lembaga pengarah telah menilai semula kedudukan kewangan kumpulan untuk memperbaiki kedudukan kewangan serta keberhutangan.

“Lembaga pengarah telah mengenal pasti Borsig Group sebagai aset yang sesuai untuk pengewangan bagi menangani kekangan kewangan kumpulan.

“Walaupun Borsig Group menyumbang secara positif kepada prestasi kewangan KNM Group selama ini, namun kumpulan sedang melaksanakan penjualan yang dicadangan untuk menyediakan suntikan tunai tepat pada masanya untuk memperbaiki kedudukan kewangannya dan mengikut rancangan berterusan untuk memperkemas operasi bagi menumpukan kepada pengembangan segmen tenaga boleh baharu,” jelas KNM.

KNM menjelaskan pihaknya akan memperuntukkan RM874.23 juta daripada hasil kasar penjualan yang didicadangkan untuk pembayaran balik pinjaman bank bagi mengurangkan keberhutangannya dan menambah baik tahap kadar hutang.

“Jumlah pinjaman bank oleh kumpulan dijangka berkurangan daripada RM1.28 bilion kepada RM391.53 juta selepas selesai cadangan penjualan dan pembayaran balik pinjaman,” tambahnya.

Kumpulan juga akan menggunakan sebahagian hasil penjualan itu sebagai modal kerja untuk pembuatan bagi perniagaan peralatan proses, yang akan memberikan fleksibiliti kewangan untuk membangunkan portfolio produknya,” kata KNM.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan