AM

Kumpul sumbangan RM50,000 untuk kanak-kanak menerusi 'Jump for Love'

23/05/2022 03:21 PM

KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- Penggemar lompat tali berpeluang membuat amal kebajikan sambil bertanding untuk memenangi hadiah-hadiah menarik menerusi Kempen Cara Hidup Sihat dan Lestari (LOHAS) Taiwan Excellence 2022: Lompatan untuk Kasih (Jump for Love) sehingga 8 Jun ini.

Kempen lompat tali secara dalam talian yang bermula 16 Mei lepas, dianjurkan oleh Taiwan Excellence bertujuan untuk menyumbang barangan keperluan harian bernilai RM50,000 kepada kanak-kanak yang memerlukan, sebaik sasaran jumlah lompatan sebanyak 800,000 dicapai oleh peserta.

“Acara ini adalah seruan untuk bertindak yang menggalakkan rakyat Malaysia supaya menjadi aktif dan lebih sihat menerusi lompat tali sambil menyokong kegiatan amal. Rakyat Malaysia dari semua golongan diseru untuk mengambil bahagian,” menurut Taiwan Excellence dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, kempen tajaan Biro Perdagangan Asing Taiwan dan Majlis Pembangunan Perdagangan Luar Taiwan, dengan sokongan Persekutuan Lompat Tali Malaysia (MyJuRF) itu, boleh disertai oleh mereka yang berminat dengan memuat turun arahan bersuara menerusi laman web www.jumpforlove.com.my.

Para peserta dikehendaki memuat naik video berdurasi satu minit pada akaun Telegram yang ditetapkan dan menghantar borang pendaftaran mereka di laman web LOHAS Taiwan Excellence.

Menurut kenyataan itu semua peserta akan menerima sijil dalam talian dan berpeluang menjadi antara 100 pemenang cabutan bertuah mingguan.

Sementara itu 80 peserta akan dipilih untuk menyertai pertandingan akhir dan berpeluang memenangi hadiah menarik seperti peralatan kecergasan Horizon Fitness TR3.0 Treadmill, komputer riba Chromebook Flip C214M, pembersih udara Airvida dan lain-lain.

Selepas tamat pusingan awal dalam talian, peserta terpilih berkenaan akan dijemput menghadiri pertandingan akhir di Pusat Beli-Belah Sunway Velocity di sini pada 24 hingga 27 Jun dan acara anjuran Taiwan Excellence itu akan turut mengetengahkan 13 produk yang pernah meraih anugerah.

Menurut pengarah Pusat Perdagangan Taiwan di Kuala Lumpur, Taiwan Excellence ialah standard emas dalam mewakili produk-produk terbaik dari Taiwan dan jenama tersebut diiktiraf secara global sebagai bukti ketinggian kualiti.

“Keputusan untuk mempromosi LOHAS di Malaysia telah menerima sokongan kuat daripada badan bukan kerajaan (NGO) tempatan.

“Diharapkan agar kerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan untuk mempromosi aktiviti sihat lompat tali dapat menyumbang kembali kepada masyarakat sambil mengukuhkan penunjuk Alam Sekitar, Sosial dan Pentadbiran syarikat,” katanya dalam kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan