AM

Persembahan Luar Biasa, RM100,000 Untuk Program SPWinds - PM Anwar

25/04/2026 10:28 PM

PUTRAJAYA, 25 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim malam ini mengumumkan sumbangan RM100,000 kepada pasukan orkestra Sekolah Seri Puteri (SSP), iaitu Seri Puteri Symphonic Winds Orchestra (SPWinds).

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata sumbangan itu sebagai tanda sokongan serta galakan kepada kumpulan berkenaan untuk melaksanakan program dan aktiviti yang menyumbang kemenjadian murid melalui kecemerlangan seni.

"Persembahan luar biasa, (sumbangan) ini untuk menggalakkan anak-anak," katanya ringkas kepada pemberita selepas meluangkan masa menonton persembahan "Winds of Glory: AM:PM Amir Masdi dan SP Winds in Concert”, di sini.

Terdahulu, Anwar yang tiba pada 8 malam diiringi Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Dr Aminuddin Hassim ke Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, meluangkan masa hampir dua jam bersama kira-kira 1,000 penonton menyaksikan persembahan bertenaga yang menggandingkan artis tanah air Amir Masdi dengan pasukan orkestra SPWinds.

Konsert berkenaan bukan sahaja menjadi platform pendedahan SPWinds kepada standard muzik profesional, malah merupakan langkah penting dalam persediaan mereka bagi menyertai  World Music Contest (WMC) 2026, di Belanda pada Julai ini.

Konsert amal anjuran Kumpulan Sokongan Ibu Bapa SPWinds (KSIB) di bawah Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SSP itu, bertujuan mengumpul dana bagi program di Belanda kelak.

Pasukan orkestra SPWinds sebelum ini pernah mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa apabila merangkul Anugerah Emas di Festival Orkestra Dunia ke-11, yang berlangsung di Vienna, Austria dari 23 hingga 26 Julai tahun lepas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan