LABUAN, 23 Mei (Bernama) -- Penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) mencatatkan kenaikan mendadak di pulau bebas cukai ini, dengan kes kumulatif sebanyak 443 setakat ini, berbanding hanya tujuh kes pada tempoh sama tahun lepas.
Pengarah Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari berkata keadaan itu membimbangkan kerana 18 kluster direkodkan.
“Kami bimbang dengan peningkatan mendadak kes dalam kalangan murid sekolah, ditambah dengan kenaikan kes denggi. Peningkatan ini dijangka berikutan pembukaan sekolah dan tadika, tetapi apabila ia melonjak sehingga ratusan peratus, itu membimbangkan kita,” katanya kepada Bernama hari ini.
Dr Ismuni berkata situasi itu bagaimanapun masih terkawal dengan pemantauan ketat daripada petugas penguatkuasaan jabatan itu di tadika, taska dan sekolah rendah.
Beliau berkata 443 kes itu dikesan di kesemua lima zon di seluruh Labuan manakala 18 kluster melibatkan kawasan perumahan, pusat jagaan harian, taska dan tadika.
“HFMD adalah penyakit bermusim yang merebak melalui kontak rapat dengan orang yang dijangkiti...nasihat kami kepada ibu bapa agar tidak menghantar anak-anak mereka dengan gejala HFMD ke sekolah," katanya.
Rabu lepas, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata sejumlah 31,661 kes HFMD dilaporkan di Malaysia sehingga Minggu Epidemiologi ke-19 (ME19) berbanding 2,121 kes yang direkodkan pada tempoh sama tahun lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial