POLITIK

UMNO, BN Perlis sedia bergerak solo tanpa kerjasama PAS

23/05/2022 03:30 PM

KANGAR, 23 Mei (Bernama) -- UMNO dan Barisan Nasional (BN) Perlis bersedia untuk bergerak solo tanpa melibatkan kerjasama dengan PAS bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekiranya parti itu tidak ingin meneruskan kerjasama menerusi Muafakat Nasional (MN).

Pengerusi BN Perlis Datuk Seri Azlan Man berkata UMNO negeri tidak mempunyai sebarang kerjasama dengan PAS dan apa yang dilakukan sebelum ini dibuat secara bersendirian.

“Tidak ada pun kerjasama politik antara BN dan PAS pada masa ini,” katanya yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri kepada pemberita di sini malam tadi.

Beliau berkata dapat dilihat bahawa isyarat yang ditunjukkan oleh pemimpin PAS dilihat tidak konsisten sama ada mahu meneruskan atau menamatkan kerjasama MN dengan meletakkan kesalahan kepada UMNO menerusi kenyataan negatif oleh beberapa pemimpin PAS sebelum ini.

“Kenyataan sebegini tidak memberikan semangat untuk kita menghidupkan kembali MN namun ia tertakluk kepada keputusan yang dibuat oleh kepimpinan tertinggi UMNO nanti,” katanya menambah bagi meneruskan MN, ia terpulang kepada PAS untuk membuat pilihan dan UMNO juga mempunyai pilihan sendiri.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Perlis Mohd Shukri Ramli berkata gabungan MN masih belum mati di negeri ini dan PAS mengharapkan kerjasama itu dapat terus diperkasa dan dipertahankan bagi menguatkan perpaduan ummah, khususnya di Perlis.

"Kerjasama PAS dengan  UMNO Bahagian  Arau, Padang Besar dan Kangar….hubungan kita (dalam MN) masih tidak putus," katanya kepada pemberita selepas Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Perlis yang berlangsung di Kompleks PAS Perlis di sini hari ini.

Shukri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai kenyataan Azlan itu, namun pihaknya optimis bagi mempertahankan MN memandangkan rundingan di peringkat pusat berhubung perkara itu masih berjalan.

"Kita di peringkat pimpinan masih bergerak ke arah penyatuan dan tidak akan berputus asa bagi meneruskan kerjasama dalam MN yang dapat mewujudkan suasana harmoni dalam kalangan masyarakat,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan