AM

JAKM Sabah: RM6.47 juta jualan dan potensi perniagaan diraih

22/05/2022 08:25 PM

KOTA KINABALU, 22 Mei (Bernama) -- Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) menyaksikan sambutan luar jangkaan dalam kalangan masyarakat di negeri ini sepanjang tiga hari penganjuran program itu yang berakhir hari ini.

Menurut kenyataan Sekretariat Program JAKM hari ini seramai 24,198 pengunjung direkodkan setakat 3 petang tadi, sementara RM6.47 juta jualan dan potensi perniagaan juga berjaya diraih.

Penglibatan 181 gerai jualan usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan program padanan perniagaan dalam siri jelajah itu turut merancakkan aktiviti ekonomi terutamanya bagi usahawan tempatan.

Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia pula menyaksikan 459 orang peserta telah dipanggil menghadiri temu duga, yang 148 individu berjaya ke tapisan akhir dalam jawatan yang dipohon, sementara 139 daripada jumlah itu berjaya ditawarkan pekerjaan.

Jualan Keluarga Malaysia turut menjadi tumpuan kebanyakan pengunjung, yang merebut peluang tawaran potongan harga lebih rendah daripada harga pasaran bagi pelbagai barangan keperluan harian.

Program lain bersifat rekreasi dan hiburan seperti pertandingan sukan elektronik (e-sports), sukan rakyat dan pertandingan bintang patriotik serta pameran kucing dan demonstrasi Jabatan Hidupan Liar Sabah nyata memberi pengalaman yang menyeronokkan, terutama kepada pengunjung berkeluarga.

Pengunjung juga berpeluang menimba ilmu dan mendengar penerangan serta tawaran perkhidmatan langsung kerajaan, sesi bimbingan usahawan dan pemberian bantuan dan insentif.

Sebanyak 27 reruai kaunter perkhidmatan telah mengambil bahagian pada siri JAKM kali ini melibatkan pelbagai kementerian dan jabatan serta agensi Persekutuan dan negeri.

Kaunter perkhidmatan bergerak badan kerajaan juga disediakan, antaranya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ Mobile), Pusat Keluarga Bergerak (PKB), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Klinik Pergigian dan Kementerian Kesihatan.

JAKM, yang dicetuskan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, adalah kesinambungan daripada kejayaan program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 9-12 Dis lepas.

Sabah merupakan lokasi ketiga siri JAKM, yang Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) adalah kementerian peneraju bagi program jelajah di Sabah dan dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan negeri selaku tuan rumah, manakala Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU) merupakan penyelaras utama bagi kesemua 14 siri jelajah, termasuk acara penutupan di Putrajaya.

Penganjuran JAKM, yang telah menjelajah Johor dan Perlis, merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk menyumbang kepada rakyat melalui penganjuran program yang berfokuskan kepada kemudahan perkhidmatan secara langsung, sekali gus menjamin keharmonian serta kesejahteraan seluruh Keluarga Malaysia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan