AM

Isu Palestin merupakan isu kemanusiaan sejagat - Idris Ahmad

22/05/2022 07:21 PM

 

SEPANG, 22 Mei (Bernama) -- Pencerobohan oleh rejim Zionis di Palestin bukan hanya melibatkan isu agama tetapi ia merupakan isu kemanusiaan sejagat tanpa mengira agama, bangsa dan negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad.

Beliau berkata usaha membebaskan Al-Quds daripada penjajahan Israel Zionis bukan sahaja tanggungjawab rakyat Palestin atau bangsa Arab semata-mata, tetapi ia merupakan tanggungjawab seluruh umat Islam.

"Ia menjadi kewajipan bagi setiap kita untuk menyumbang terhadap apa jua cara dan usaha untuk membebaskan Al-Quds dan Masjidil Aqsa daripada terus dinodai kesuciannya oleh Yahudi Zionis," katanya semasa berucap di Majlis Penutup Sidang Kemuncak Ulama Islam Mengenai Perpaduan Sebagai Asas Pembebasan Masjidil Aqsa, di sini hari ini.

Idris berkata pendirian kerajaan Malaysia konsisten untuk terus memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Palestin sama ada daripada segi politik, ekonomi dan moral.

"Solidariti itu dibuktikan dengan pendirian negara terus teguh untuk tidak mengadakan hubungan diplomatik dengan negara Israel selain mengutuk terhadap siri pencerobohan yang dilakukan di bumi Palestin," katanya.

Persidangan selama tiga hari itu yang bermula Jumaat lepas dianjurkan Yayasan MyAQSA dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia dan dihadiri kira-kira 200 ulama dari dalam dan luar negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan