AM

JAKM: Produk inovasi makanan Sabah laris

22/05/2022 06:34 PM

Oleh Rohana Nasrah

KOTA KINABALU, 22 Mei (Bernama) -- Usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Sabah memanfaatkan sepenuhnya Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) untuk mempromosi produk inovasi makanan keluaran mereka sekali gus menjana pendapatan lumayan.

Jelajah berlangsung tiga hari mulai Jumaat lepas di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) itu turut menjadi platform usahawan IKS terbabit memperluaskan potensi jenama produk masing-masing memandangkan orang ramai yang mengunjungi reruai mereka terdiri daripada segenap Keluarga Malaysia termasuk dari Semenanjung.

Seorang usahawan muda Muhammad Shah Abd Salam, 37, dari Semporna berkata beliau tidak menyangka produk inovasi makanan diusahakannya iaitu putu kurita mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung apabila sudah terjual lebih 1,500 pek, melebihi sasaran awal ditetapkan iaitu 1,000 pek.

"Saya tidak menjangka produk makanan tradisi ini laris terjual sempena siri jelajah AKM Sabah sehingga saya terpaksa meminta bantuan keluarga di Semporna untuk menghantar bekalan ke Kota Kinabalu dua hari berturut-turut menggunakan bas ekspres.

"Saya berpendapat siri jelajah seumpama ini amat berkesan untuk membantu para usahawan IKS tempatan memperkenalkan produk masing-masing, selain peluang juga untuk kami membina rangkaian perniagaan bersama rakan usahawan lain," katanya ketika ditemui Bernama, hari ini.

Muhammad Shah, yang pernah memenangi Cabaran Perniagaan Luar Bandar bagi kategori idea perniagaan pada 2016 berkata, beliau mengambil inisiatif menginovasikan putu, makanan tradisi masyarakat Bajau Sabah, kerana ingin memastikan ia terus dikenali dan tidak luput ditelan zaman.

Kebiasaannya, putu dimakan berasingan bersama ikan pada waktu tengah hari, namun, beliau menginovasikan makanan tradisi itu supaya ia  boleh dimakan pada bila-bila masa kerana sudah siap diletakkan inti sesuai cita rasa pengguna.

Selain putu kurita yang antara lain menggunakan bahan utama seperti ubi kayu, sotong kurita kering, lada kering, garam dan perasa, Muhammad Shah turut memperkenalkan putu berintikan ikan bilis.

Beliau optimis produk inovasi makanan tradisi itu mampu terjual sehingga 2,000 pek pada siri jelajah AKM, dengan setiap satu pek dijual pada harga RM10.

Sementara itu, seorang lagi usahawan IKS Rojaliah Hanti, 47, berkata siri jelajah AKM banyak membantu beliau dan adiknya Rojaidah Hanti, 38, mempromosikan keunikan produk inovasi makanan diusahakan mereka iaitu serunding kobis.

Menyifatkan serunding kobis sebagai 'produk kreatif PKP', Rojaliah berkata ia baru sahaja dikomersialkan pada 2020 selepas berjaya menginovasikan produk makanan itu ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan pandemik COVID-19.

"Semasa PKP mula dilaksanakan dua tahun lepas telah mengakibatkan berlaku lambakan sayur termasuk kobis di Ranau. Idea menghasilkan serunding kobis ini bermula apabila kami menerima seguni kobis daripada penduduk kampung.

"Setelah terhasil idea ini, kami kemudian memberi serunding kobis kepada keluarga serta jiran terdekat sebagai percubaan dan ternyata ada permintaan," katanya, sambil menambah, ingin membantu jiran menjana pendapatan selepas terkesan akibat PKP juga mendorong semangat mereka untuk menginovasikan serunding kobis.

Beliau juga tidak menyangka ada dalam kalangan pengunjung jelajah AKM Sabah terutama dari Semenanjung datang semula ke ruangan reruai mereka untuk 'memborong' serunding kobis.

Selain serunding kobis, Rojaliah turut memperkenalkan serunding lada putih, dengan masing-masing dijual pada harga RM7 dan RM9 satu bungkus.

Sepanjang tiga hari berkampung pada siri jelajah AKM, kedua-dua beradik itu telah berjaya menjual kira-kira 1,000 bungkus serunding kobis dan serunding lada putih.

"Kami berharap produk makanan serunding kobis dan serunding lada putih ini mampu menembusi pasaran lebih luas kerana siri jelajah ini juga secara tidak langsung menjadi platform membantu mempromosikan produk kami," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan